Khamis, 7 November 2013

Penyeludupan senjata: Tingkat kawalan di sempadan, henti intip Pakatan

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Pasukan polis digesa meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan bagi membanteras jenayah penyeludupan senjata api dan berhenti menjalankan intipan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah  Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor bahawa faktor kelemahan pemeriksaan di kawasan sempadan punca penyeludupan senjata api semakin
berleluasa.
Sim
“Kawalan sempadan perlu dipertingkatkan bagi menghalang senjata api diseludup. Polis sendiri boleh menambah anggota di kawasan sempadan bagi menjalankan pemeriksaan dan risikan benteras jenayah.

“Saya ulangi sekali lagi supaya pihak polis berhenti mencampuri urusan politik. Mereka seharusnya diberi tugasan untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara,” ujar Sim menyatakan hanya 13 peratus anggota polis terlibat dalam operasi membanteras jenayah manakala 40 peratus yang lain ditugaskan untuk mengintip pemimpin Pakatan.

Mazlan semalam dilapor berkata, hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand hanya dijalankan secara rawak membolehkan kumpulan penjenayah menyeludup senjata api dengan mudah.

Ini menurutnya membuka peluang kepada segelintir kumpulan penjenayah mengambil kesempatan menyeludup dadah dan senjata api ekoran pemeriksaan longgar di kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang berkeluasan 640 kilometer.

Hasil analisis pihak polis mendedahkan sebanyak 573 senjata api dirampas termasuk 212 pistol jenis semi-automatik, 134 pistol buatan sendiri, 80 revolver, 15 butir bom tangan, 14 ‘pump gun’ dan 71 pistol angin yang diseludup melalui negara jiran.

Tiada ulasan: