Isnin, 25 November 2013

Pengguna, Pengedar Kereta Merungut Dengan Kelewatan Sistem MySikap JPJ




PETALING JAYA: Pengguna dan pengedar kereta merungut dengan masalah teknikal yang melanda Sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sistem yang dipertingkatkan, dilancarkan pada 1 November lalu masih belum stabil dan menyebabkan beribu-ribu orang menunggu berhari-hari untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan serta mendaftar kenderaan mereka.

Seorang peniaga kereta, yang hanya mahu dikenali sebagai A.S. Lee, berkata pelanggan menuduh peniaga seperti dia melewatkan pendaftaran kereta baru mereka dengan sengaja.

"Pendaftaran kereta baru sebelum ini telah memakan masa berhari-hari, tetapi kini kelewatan kadang-kadang sampai seminggu. Semua pelanggan saya mengadu mengenainya tetapi tiada apa-apa yang boleh kami lakukan," katanya.

Seorang peniaga kereta yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Forest Chin, 27, berkata beberapa pelanggan enggan mempercayainya tentang kelewatan itu sehingga dia membawa mereka ke pejabat JPJ untuk melihatnya sendiri.

"Apabila kita membawa mereka ke JPJ , mereka melihat barisan beratur dan menunggu begitu panjang, dan mereka sedar bahawa ia bukannya salah kami," katanya.

Chin berkata, masalah teknikal adalah sedemikian rupa sehingga dia tidak dapat membantu sesetengah pelanggannya untuk menukar alamat mereka.

Beliau berkata, beliau telah bercakap dengan teman-temannya di JPJ yang mendakwa masalah pendaftaran dan pembaharuan itu terus berlaku.

"Beberapa pegawai JPJ tidak biasa menggunakan sistem MySikap dan hanya sedikit yang tahu untuk menggunakannya," dakwanya.

Para pengguna turut menyuarakan kekecewaan mereka di laman Facebook JPJ.

Pengguna Facebook di bawah nama Arvin DiNozzo berkata, dia telah pergi ke cawangan JPJ minggu lepas tetapi sentiasa diberitahu bahawa sistem itu mengalami masalah.

"Ada sekali itu, saya menunggu dalam barisan di cawangan JPJ di Maju Junction selama 30 minit hanya untuk diberitahu oleh pegawai bahawa sistem itu mengalami masalah. Seorang lelaki yang duduk di belakang saya juga mengadu yang dia telah mengambil cuti untuk hari itu tetapi urusannya di sini (JPJ) belum lagi diselesaikan," katanya.

Seorang lagi pengguna, Anak Rantau, berkata: "Sistem baru sepatutnya diuji dahulu untuk mengesan kelemahan, dan bukannya untuk ia dilaksanakan dengan segera."

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor mencadangkan JPJ supaya menggunakan sistem Sikap sebelum ini sehingga keadaan kembali seperti biasa.

"Kami amat menyokong sistem MySikap tetapi kami berharap JPJ boleh bertindak untuk menyelesaikan perkara ini kerana tidak ada sebarang isu dengan sistem Sikap sebelum ini," kata beliau sambil menambah bahawa mereka telah memantau keadaan itu setiap hari.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, masih terdapat kelewatan walaupun transaksi JPJ yang berkaitan telah bertambah baik sejak beberapa hari lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, masa diperlukan untuk peralihan sistem kepada MySikap daripada sistem sebelumnya untuk ia dapat berfungsi dengan stabil sepenuhnya.

"Ini kerana ia adalah satu sistem yang besar. Kami berharap orang ramai dapat memahami dan memberikan kami masa," katanya.

Tiada ulasan: