Khamis, 21 November 2013

Penculikan di Semporna: Mangsa Perlukan Bekalan Ubat Secara Berkala




PETALING JAYA: Abang sulung, Chang An Wei, 58 tahun telah menyediakan bekalan ubat-ubatan untuk adiknya yang sedang sakit selepas dia diculik di resort Pulau Pom Pom, Sabah, Jumaat lalu.

Richard Chang (atau Chang Da Gong), bagaimanapun berkata, dia masih memikirkan cara bagaimana untuk memberikan ubat berkenaan kepada adiknya yang diculik oleh kumpulan bersenjata.

"Dia memang mempunyai masalah kesihatan selama ini," katanya kepada TV Cti pada Rabu.

Pada ketika ini, Richard berada di Sabah bersama abang iparnya Hsu Li Ren dan dua sepupu mereka untuk menuntut mayat suami Chang, Hsu Li Min serta mengetahui lebih lanjut di mana Chang disembunyikan.

Li Min ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata di villa atas air pada pukul 1 pagi sementara isterinya, Chang diculik oleh kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf.
Difahamkan Chang dibawa lari ke salah sebuah pulau di Tawi Tawi, yang terletak di selatan Filipina.

Sementara itu, Pengarah Biro Siasatan Jenayah Taiwan, Lin De-Hua berkata mereka telah menghantar dua pegawai polis bahagian risikan ke Filipina pada Isnin untuk bekerjasama dengan pihak polis Filipina dalam menyelesaikan kes penculikan tersebut.

Beliau berkata mereka telah menghubungi pihak Kementerian Keadilan Taiwan berhubung isu berkenaan dan telah meminta jabatan pendakwa raya Taipie untuk terlibat secara langsung dalam proses siasatan.

Menurut laporan media Taiwan, wakil Kementerian Luar Taiwan telah bertemu dengan Kementerian Dalam Negeri, Biro Keselamatan Nasional dan Pengawal Pantai untuk berbincang mengenai misi untuk menyelamatkan tebusan.

"Ini satu kes pembunuhan dan culik melibatkan sempadan tiga negara. Keutamaan kami ialah untuk memastikan tebusan dapat dibebaskan dalam keadaan selamat," kata Lin seperti yang dipetik daripada laporan oleh Agensi Berita Sentral.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan ada pihaknya menerima panggilan telefon meminta wang tebusan, dia berkata mereka tidak akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai panggilan berkenaan dan siasatan yang sedang dijalankan demi menjamin keselamatan Chang.

Tiada ulasan: