Isnin, 11 November 2013

Penangan media sosial


Oleh Amin Iskandar


Walaupun sesetengah pemimpin tertinggi negara sebelum ini tidak menggemari media sosial kerana ia membenarkan mereka dikritik secara terbuka dalam suasana media arus perdana berat sebelah, ia terbukti membawa kebaikan malahan membantu kes jenayah diselesaikan.

 Sebaik sahaja bayi lelaki warga Britain Freddie Joseph yang berusia setahun lapan bulan dilarikan dua individu di hadapan rumahnya di Jalan Terasik 7, Bangsar pada Jumaat, sebelum mana-mana media mengeluarkan laporan, laman sosial Facebook dan Twitter sudah dibanjiri berita mengenainya.

Pada masa kejadian, ibunya Sarah Joseph, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Ketika itu, beliau ternampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta pertolongan sehingga berlaku pergelutan.

Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya.

Freddie akhirnya ditemui semalam di Taman Tasik Titiwangsa oleh beberapa orang awam lebih kurang jam 12.20 tengah hari dalam keadaan keletihan.

Bayi itu akhirnya kembali semula ke pangkuan Sarah dan warga media sosial meraikannya dengan penuh kesyukuran.

Di Indonesia kerana keterbukaannya, media sosial memainkan peranan lebih besar.

Pemimpin negara atau menteri di negara itu tidak boleh melakukan kesalahan jalan raya dengan sesuka hati.

Pada 4 Mei 2010, kenderaan rasmi Menteri Sosial Assegaf Al-Jufri dengan nombor pendaftaran RI 32 memasuki lorong busway (lorong dikhaskan untuk bas) di Jakarta.

Kejadian dirakamkan kamera pengguna Twitter bernama Rubinni yang kemudian menyebarkannya di laman sosial itu.

Berita itu tersebar luas di Twitter sehingga media massa turut melaporkannya.

Di televisyen dan akhbar-akhbar heboh kenderaan menteri melanggar kesalahan lalulintas.

Tekanan daripada umum memaksa polis yang menguruskan hal lalulintas di Jakarta dan mengeluarkan saman terhadap kenderaan menteri tersebut.

Di Malaysia dalam hal ini lain pula ceritanya. Kenderaan rakyat marhaen yang diletakkan di tepi jalan seketika untuk mengeluarkan wang di bank ditunda manakala kenderaan menteri atau pemimpin tertinggi negeri boleh diletakkan di mana sahaja tanpa ada sebarang tindakan.

Di zaman media sosial menguasai perdebatan masyarakat pada hari ini, tiada siapa boleh terlepas daripada apa yang dikata atau lakukan apatah lagi kalau mereka itu ahli politik atau selebriti.

Seperti yang dikatakan oleh seorang bekas timbalan menteri yang ditemuramah sebuah portal berita baru-baru ini, seseorang pemimpin itu tidak boleh menjadi progesif di hadapan satu kelompok dan bertukar menjadi “kanan” di hadapan kelompok lain.

Dalam erti kata lain, seseorang itu sudah tidak boleh lagi menjadi “sesumpah” yang seringkali menukar warnanya mengikut kesesuaian keadaan.

Media sosial pasti menghukumnya.

Tiada ulasan: