Jumaat, 22 November 2013

Pemimpin Tidak Sah Seniman Ditegah Jalankan Aktiviti




Abu Bakar Omar (dua dari kanan) bersama rakan-rakan artis veteran dan barisan peguam mereka selepas berjaya dalam kes tuntutan terhadap pemimpin persatuan Seniman pada Khamis. Gambar: UTUSAN MALAYSIA
 
 
KUALA LUMPUR: Semua bekas pemimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) termasuk bekas presidennya Zed Zaidi atau Rozaidi Abdul Jamil, 33, diberi amaran agar tidak menjalankan apa-apa kegiatan di pejabat persatuan itu kerana mereka adalah pemimpin yang tidak sah.

Peguam kepada lima artis veteran yang berjaya dalam kes tuntutan terhadap persatuan itu, Yusfarizal Yussoff berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan tidak layak untuk melakukan apa-apa aktiviti di pejabat berkenaan dan perlu mengosongkannya.

“Secara undang-undangnya, sebagai pemimpin yang tidak sah, mereka tidak boleh buat apa-apa atas nama persatuan serta tidak boleh menjalankan aktiviti di pejabat berkenaan.

“Malah segala akaun bank persatuan juga tidak boleh diusik,” katanya kepada pemberita di sebuah restoran di Diamond Square, Jalan Gombak di sini pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai kejayaan lima artis veteran dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bagi mendapatkan pengisytiharan mesyuarat agung ke-14 (AGM) persatuan itu adalah terbatal dan tidak sah.

Lima artis veteran berkenaan yang turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Shalan), Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang.

Abu Bakar Omar
 
Hadir sama lima peguam yang mewakili artis veteran tersebut.

Dalam pada itu Yusfarizal berkata, pihaknya berpuas hati apabila 12 perkara termasuk isu-isu penyelewengan yang dilakukan bekas pemimpin-pemimpin berkenaan diterima mahkamah.

Malah pihaknya akan menunggu tarikh yang akan ditentukan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula ahli jawatankuasa bagi membolehkan persatuan berkenaan digerakkan.

“Pihak kami berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan apa yang dilakukan ini sebenarnya untuk menjaga kebajikan ahli-ahli Seniman selain mengelak daripada berlakunya unsur-unsur tidak sihat dalam sesebuah persatuan,” ujarnya.

Sementara itu Abu Bakar Omar yang merupakan plaintif pertama dalam kes berkenaan berasa terharu dengan kejayaan tersebut selain memberitahu tindakannya itu adalah untuk menyelamatkan Seniman.

Malah dia juga berasa malu apabila kes berkenaan menjadi besar sehingga terpaksa melibatkan campur tangan mahkamah.

“Kalau boleh saya mahu kes ini diselesaikan dengan cara baik. Tak mahu ia diperbesar-besarkan kerana yang malu nanti, artis juga. Tetapi apa boleh buat? Bila kita nak selesaikan dengan cara baik, mereka tak nak terima.

“Sebaliknya mereka bermegah kononnya mereka ada kelulusan dalam bidang undang-undang dan sebagainya tetapi... ini yang terjadi,” katanya.

Zed Zaidi
 
Dalam pada itu Zed Zaidi yang dihubungi wartawan mStar Online, Mohd Al-Qayum Azizi enggan mengulas mengenai keputusan mahkamah sebaliknya akan mengadakan mesyuarat dengan defendan-defendan lain yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Buat masa ini saya tidak boleh ulas mengenai keputusan itu dan saya akan memaklumkan kepada pihak media selepas satu mesyuarat yang akan kami jalankan.

“Buat masa ini semua aktiviti persatuan Seniman dikendalikan oleh Setiausaha Kerja yang bekerja dengan persatuan,” katanya.

Di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop memutuskan bahawa apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, Kompleks Studio Merdeka di sini, adalah tidak sah.

Rosilah memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim atau Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman.

Beliau juga memerintahkan defendan membayar kos RM60,000 kepada kesemua plaintif.

Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan.

Tiada ulasan: