Selasa, 19 November 2013

Pembinaan insinerator bangkitkan kemarahan penduduk, Menteri digesa segera beri penjelasan

okm 1


KUALA LUMPUR: DAP menggesa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menjelaskan segera sama ada pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong adalah jalan penyelesaian atau hanya satu daripada banyak pilihan tempat pelupusan sisa pepejal.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, penjelasan wajar dilakukan berikutan pembinaan insinerator itu mewujudkan kesangsian dan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.

“Jika Abdul Rahman cenderung untuk memulihkan semula keyakinan penduduk yang sudah hilang, beliau perlu menjelaskan apa yang didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Nadzri Yahaya di Pusat Komuniti Jinjang Utara, semalam.

“Dr Nadzri semalam menyatakan bahawa beliau ‘dikelirukan’ Abdul Rahman dengan memberi gambaran bahawa insinerator adalah satu-satunya pilihan di stesen pemindahan Taman Beringin.

“Beliau turut menegaskan bahawa itulah puncanya mengapa Abdul Rahman mendakwa tender terbuka telah dilakukan pada September lalu bagi pembinaan insinerator,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kian Ming, Dr Nadzri juga menyebut tender terbuka pada September tahun lalu adalah untuk ‘sisa buangan kepada tenaga’, kemudahan yang termasuk terma loji rawatan dalam bentuk loji insinerator, logi pengegasan atau loji pirolisis.

Selain tiga loji berbeza, pilihan lain termasuk pencerna anaerobik sisa organik, bahan bakar terbitan atau Kemudahan Perolehan Semula Sumber.

Dr Nadzri turut memberi jaminan semua tawaran untuk pilihan yang berbeza firma tempatan atau antarabangsa akan diumumkan kepada orang ramai supaya mereka boleh menilai sama ada pilihan terbaik telah dilakukan.

Tawaran juga akan dinilai berdasarkan teknik terbaik tanpa sebarang kos berlebihan, efektif dan terbukti mesra alam sekitar.

“Memandangkan pendedahan Dr Nadzri, Abdul Rahman harus memberi penjelasan serta merta bahawa beliau sememangnya tidak pasti loji insinerator akan dibina di Taman Beringin dan ia semata-mata adalah salah satu daripada beberapa pilihan yang ada.

“Beliau juga perlu mengesahkan tender terbuka untuk projek ini kepada semua pilihan yang disebut Dr Nadzri, di mana loji insinerator hanya satu pilihan dan memberi jaminan semua tender akan disediakan kepada orang ramai,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: