Sabtu, 16 November 2013

Pasti, Unit Amal aset berharga PAS

Mohd Sabri Said,


TASEK GELUGOR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru semua ahli PAS di setiap peringkat supaya menghargai dan menjaga pasukan Unit Amal dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebaik mungkin kerana ia merupakan aset penting kepada PAS.

Menurutnya, sejarah membuktikan masyarakat mula 'celik mata' terhadap PAS selepas mengenali pengorbanan pasukan Unit Amal dan menyukai sistem pendidikan dan pendekatan yang diguna pakai di Pasti.

Justeru itu, kejayaan PAS hari ini ada kaitan dengan keaktifan Unit Amal dan Pasti kerana ada setengah pihak mengenali keduanya dahulu sebelum berjinak dengan PAS.

"Jagailah pasukan Unit Amal dan Pasti dengan baik, jangan hampakan rakyat yang telah menaruh harapan terhadapnya. Unit Amal dan PASTI merupakan aset PAS yang berharga," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan 25 tahun Pasti Nurul Iman, Kampung Guar Kepayang, Tasek Gelugor baru-baru ini.

Unit Amal dan Pasti katanya, bukan sahaja terkenal di kalangan orang Islam ataupun penyokong PAS, malah kini sudah menjadi buah mulut masyarakat termasuk bukan Islam kerana sumbangan besar kedua-duanya.

"Ini bererti nama PAS sudah melekat di hati rakyat maka situasi sebegini harus dijagai sebaik mungkin agar tidak berlaku masalah yang akhirnya menjejaskan nama PAS itu sendiri," katanya.

Tiada ulasan: