PRK Dun Sg. Limau

SHAH ALAM - BN yang berjaya mengurangkan majoriti undi Pas bagi PRK Dun Sungai Limau membuktikan pengaruh  bekas Adunnya, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak bukan kayu ukur kemenangan Pas.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, apa yang dilakukan BN dalam misi merampas Dun Sungai Limau boleh dibanggakan kerana berjaya menembusi kubu kuat Pas itu.

“Ia adalah perkembangan yang baik kepada BN walaupun kalah, tapi kita sudah berjaya kurangkan majoriti undi.

"Kalau kerana pengaruh Allahyarham  Ustaz Azizan, tidak juga kerana ia merupakan kawasan kubu kuat Pas yang sudah ada penyokong tegarnya ekoran Pas sudah lama bertapak di sana,” katanya.

Kata beliau, adalah tidak relevan jika hanya mengambil kira kemenangan Pas kerana pengaruh Allahyarham Ustaz Azizan.

“Sedikit sebanyak mungkin ada, tapi kalau berjaya kurangkan 50 peratus majoriti undi, itu bermakna bukan hanya sebab pengaruh Ustaz Azizan.

“BN perlu  buat post mortem mendalam punca kekalahan yang saya fikir agak tipis. Tambahan pula berdasarkan pola pengundian, pengundi muda yang pertama kali mengundi memberikan sokongan padu kepada kita (BN),” katanya.

Dalam PRK Dun Sungai Limau pada 4 November lalu, Pas berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 1,084 undi.

Calon Pas, Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.

Pada PRU13 Mei lalu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kejayaan BN mengurangkan majoriti pembangkang itu adalah sebagai permulaan baik untuk parti itu menembusi kubu kuat Pas di Kedah dan negeri lain.

“Semua kejayaan ini hasil daripada kerja keras jentera demi menawan Sungai Limau. Walaupun kalah, tapi ini permulaan yang baik bagi BN yang sebelum ini agak sukar masuk ke Sungai Limau.

“Dengan kejayaan Pas itu, bagaimanapun saya harap kedua-dua parti bertanding dapat menunaikan janji mereka semasa tempoh berkempen,” kata beliau.