Ahad, 24 November 2013

Nostalgia bekas Ketua Pemuda



Oleh AZAMIN AMIN 


LANTANG suara mereka, sesekali dirasa bingit dan mendesing telinga, namun yang jelas dipertegas. Pencak mereka sentiasa tidak berkesudahan. Siapa yang tidak tahan, pasti akan berundur perlahan.

Pantang dicabar, terus bersambut. Berdebat,demonstrasi mereka yang warnai. Tersilap, ada yang mendapat ‘luka’ dan tewas, dengan libasan hujah dan aksi tindakan mereka.

Itulah, sayap PAS yang cukup gagah. Menyerlah kehebatan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), mengorak langkah ke hadapan sehingga terkenal di persada politik negara dan antarabangsa, bermula percikan api yang dinyala kepimpinanan terdahulu.

Tidak secebis melupakan, Harakah merungkai dan sesekali mengusik empat bekas ketua pemudanya, yang berjaya mengangkat PAS sebagai parti pilihan rakyat dan gerakan yang sentiasa istiqamah memperjuangkan syiar Allah, tanpa henti.

Ingat nostalgia lama Walaupun 12 tahun, mengetuai DPPP sejak 1975, Dato’ Mustafa Ali yang kini menjawat Setiausaha Agung PAS begitu terbuka berkongsi cerita, sesekali ketawa mengenang nostalgia lama.

Fasa paling mencabar ialah untuk menghayati pelaksanaan dasar-dasar polisi PAS yang ketika itu berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). PAS dengan pendekatan penerapan nilai-nila Islamnya, manakala BN dengan cara yang sedia maklum kelakunya.

“Kita dalam kerajaan dan bersama beberapa exco pemuda PAS sentiasa mengadakan pertemuan dengan menteri dalam pelbagai kementerian untuk tangani masalah dan mengangkat isu Islam,” katanya.

Beliau diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia pada tahun 1974 sehingga tahun 1977 dan berpengalaman menjadi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada awal tahun 1977 sehingga November 1977.

Mustafa menyingkap kisah, iklan judi seperti Sports Toto yang ‘bermaharajalela’ dalam Televisyen yang disiar oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), PAS dengan lantang membantah.

“Kita jumpa Menterinya, Tan Sri Mahmud Taib (Ketua Menteri Sarawak kini)... alhamdulillah atas berbincangan dan desakan kita, dia setuju dan akhirnya, iklan judi tak disiarkan hasil daripada usaha kita,” katanya.

Selain itu, memperkenalkan ilmu Islam di Felda-Felda, kebetulan pada masa itu Menteri Tanah ialah Dato’ Asri Muda.

Ketika itulah guru-guru agama masuk ke Felda dan menerapkan nilai-nilai Islam di Felda. Ustaz Hashim Jasin (Pesuruhjaya PAS Perlis), salah seorang guru agama yang mengajar di Felda.


Beliau terus bercerita, bagaimana PAS dan pemudanya ‘out-spoken’ dalam hal yang bercanggah dengan Islam.

“Dulu setiap kali Jamuan Negara di Parlimen atau di mana-mana ‘ State Banquet’ mesti dihidangkan arak.

“Kami bantah dan beritahu Tun Razak, bahawa PAS tidak akan hadir jika arak dihidangkan.

“Akhirnya jamuan negara, tidak dihidangkan arak, cuma diletakkan di satu sudut, sesiapa yang nak minum dipersilakan.

“Menakjubkan, walaupun ada menteri yang minum arak, tetapi pada malam itu, tidak ada sesiapa pun pergi ke sudut itu,” sambil ketawa mengenang cerita lama, katanya.

Jangan melabel Sungguhpun begitu, beliau melahirkan rasa dukacita, wujud ‘label’ dalam PAS seperti yang berlaku sekarang sehingga menjadi jurang.

“Dulu tak ada, walaupun ramai ahli akademik masuk PAS, pensyarah universiti masuk seperti Timbalan Mursyidul Am Dato’ Haron Din dan Pak Daeng, boleh bekerjasama dengan baik,”katanya.

Tidak terlepas dengan palitan insiden pahit yang tidak dapat dilupakan, ketika krisis dalaman PAS yang membabitkan Menteri Besar Kelantan Dato’ Nasir sehingga ianya berakhir dengan Mageran di Kelantan dan PAS kehilangan sebuah negeri. PAS berjaya memerintah semula, 1990 sehingga kini.

Mungkin ramai yang tidak tahu, kata Mustafa bahawa Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menjawat Exco Pemuda PAS Pusat ketika itu.

“Namun dengan keilmuan dan kepakarannya, Ustaz Hadi menjadi tempat rujukan kami di Dewan Pemuda dan PAS Pusat. “Selepas dua penggal, ketika Ustaz Hadi sekitar usia 30 tahun, masih muda namun kita merasakan beliau paling layak untuk menjadi Naib Presiden PAS,” katanya.

Mustafa sentiasa optimis terhadap Pemuda PAS yang merupakan bahawa ‘kilang’ melahirkan para pemimpin PAS.

“Terbukti Jawatankuasa PAS Pusat, 80 peratusnya terdiri daripada yang lahir daripada Dewan Pemuda PAS.

“Saya harap tradisi ini diteruskan... membina potensi kepimpinan tanpa mengira profesional atau ulama, apa jua latar mereka, ada potensi, bangunkan dia,”katanya meberi saranan terbaik kepada DPPP.

Seiring Mustafa, tokoh terkenal, Dato’ Abu Bakar Chik cukup teruja dan bersemangat mengungkap kisah zaman ‘mudamuda’ bersama sayap parti itu.

“Seronok sungguh waktu tu.. pengalaman manis yang tidak dilupakan ialah Tamrin, kita banyak habiskan masa berjumpa, makan dan tidur bersama.

Katanya kediamannya di Terenggannu seperti tidak ‘berpintu’, kerana para pemuda PAS, sentiasa datang sehingga beliau tidak sedar kehadiran mereka.

“Rumah saya ditingkat bawah, sudah jadi tempat persinggahan pemuda, saya terbuka ketika itu... betapa kita menjaga ukhuwah, susah senang kita bersama,” katanya yang merupakan AJK PAS Pusat ketika ini.

Beliau menggalas tugas selaku Ketua Pemuda PAS dari tahun 1987 sehingga 1997.

“Sebagai pasukan, kita bekerja sebagai satu jemaah. Kejayaan kita dahulu adalah kerana menjaga hubungan ukhuwah, meraikan satu sama lain dan sentiasa berterus terang. “Saya ‘delegate’ tugas, dulu ada Mohamad Sabu, Salahuddin, Mahfuz masa itu saya tak banyak ganggu tugas sebab kita beri tumpuan kepada institusi yang kita wujudkan.

“Antaranya ialah PASTI, Institut Kajian Pemuda, Unit Amal dan Peguam Muda... masa itulah kita ‘lahirkan’ Hanipa Maidin,” katanya sambil ketawa.

Beliau juga menjelaskan bahawa zaman Pemuda itu telah wujud perbezaan pendapat namun dapat digarab dengan baik dan tidak menjadi satu halangan berpanjangan.

Beliau memberi contoh, bagaimana kepimpinan PAS meraikan dan menghormati Saddam Hussein (bekas Presiden Iraq) namun Pemuda PAS berpendapat sebaliknya.

Dulu Pemuda sangat aktif kerana kemenangan politik tidak luas maka peranan lebih tertumpu kepada pembangunan organisasi dan institusi, tarbiyahnya.

“Dulu tak ramai penceramah, dan saya antara yang ‘sedap’ ceramah (ketawa) dan kerap dipanggil.

“Bila menang banyak, Pemuda PAS terpaksa fokus kepada isu-isu yang dibangkitkan BN, bukan kita tak tumpu tarbiyah atau yang lain-lain, tetapi banyak masa dihabiskan dengan isu-isu semasa sebab dihimpit dengan tekanan politik pemerintah.

“Dulu juga sudah ada kepelbagaian tetapi saya guna pendekatan rundingan dan dapat sokongan pusat melalui Presidennya Almarhum Ustaz Fadzil Noor, masa itu kita pemuda jadi team yang baik dan kuat,”katanya.

Harapan beliau ialah Pemuda PAS menjadi lebih baik di masa akan datang dan meletakkan kayu ukur yang tinggi serta menyediakan pemimpin pelapis yang terbaik.

“Timbalan dan Naib-Naib Presiden yang ada sekarang hasil daripada Dewan Pemuda PAS. Itu ‘standard’ Pemuda dan Pemuda kena capai ke tahap itu atau lebih lagi.

“Kelebihan Pemuda PAS sekarang kemampuan dari segi intelektual dan kewarakan dalam agama.
Boleh jadi gelombang yang besar dan jika dikumpulkan semuanya, jadi pasukan besar yang mempunyai kepelbagaian kebolehan,”katanya.

Bagi Salahuddin Ayub yang menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bermula 2003 sehingga 2009 merakamkan terima kasih atas jasa PAS dan negeri Kelantan memberi ruang ‘suara’ Pemuda diketengahkan di Parlimen selama beliau berkhidmat 9 tahun.

Beliau yang mengetuai Pemuda memperkenalkan ‘engagement’ satu istilah – membuat dan membina jambatan-jambatan dengan dunia luar dan membawa DPP ke persada politik negara dan badan-badan bukan kerajaan termasuk kelompok-kelompok luar dan masyarakat sivil, katanya.

“Kita juga buktikan keberkesanan dalam menyelesaikan isu-isu rakyat dan kepentingan negara “PAS mesti dilihat sebahagian daripada politik negara yang mana pemimpinnya boleh dan hebat dalam memberi buah fikiran dan cadangan-cadangan, terus diyakini sebagai parti yang boleh menerajhui negara,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden PAS.

Paling mencabar katanya, ialah ‘halangan’ dan gangguan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akta polis yang mencengkam termasuk terpaksa dipenjara di Kajang dalam isu membantah kedatangan kriket Israel.

“Bukan mudah. Semua masalah mesti dihadapi dengan prinsip ‘jiwa besar’, semua masalah besar menjadi kecil dan menggangapnya sebagai satu cabaran, mesti ada kezaman yang kuat,” katanya.

Beliau menasihati supaya unsur membina kelompok-kelompok dalam parti dan berpuak-puak dielakkan sama sekali.

“Beri kebebasan dan ruang. Jangan ada sikap yang mengatakan ‘ada orang baru dan muda boleh menjadikan parti musnah. Berikan ruang mereka pamer kehebatan,”katanya.

Adalah lumrah melihat para pemuda lantang bersuara, cepat, tangkas, pencetus idea dan kuat pertahankan polisi, kata Salahuddin.

“ Dikatakan Pemuda PAS suara bising dan terkehadapan... tidak mengapa, kalau tersilap kita perbetulkan. Bukan niat kita nak buat silap. Kalau nak berehat panjang dan tak buat apa-apa, itu bukan Pemuda PAS.

“Nak kenang, kawan pemuda terus diberi kepercayaan dan peluang hebat seperti Ustaz Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Nasrudin Tantawi

“Harapan, saya yakin dan percaya kekalkan dengan sifat kepemudaan kita, mesti ada nilai tambah kerana zaman berbeza serta progresif, dinamik dan inovatif, jauh sekali tercicir dalam memposisikan diri di persada politik negara,”katanya yang meninggalkan Pemuda PAS pada 2009.

Sependapat dengan rakan sejawat, bekas Ketua Pemuda PAS Dato’ Mahfuz Omar yang juga Naib Presiden PAS berharap Dewan parti itu melalui proses peremajaan, yang melibatkan bukan sahaja kalangan pemuda bahkan semua peringkat kepimpinan.

“Kepimpinan juga mesti meremajakan pemikiran. Kalau pemimpin senior tidak berbuat demikian dan menurunkan ego, bagaimana nak memahami kehendak generasi baru ini “PAS juga mesti menyuntik nafas dan darah baru, untuk kehadapan dan ini boleh dilakukan melalui Dewan Pemuda,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena

Beliau yang pernah berdebat dengan beberapa tokoh negara termasuk menceritakan kenangan tidak dapat dilupakan, sewaktu Operasi Kriket Israel, Mahfuz dan Salahuddin memilih ke penjara, bagi mengakkan prinsip mereka sebagai pemuda PAS yang tidak mahu berkompromi.

“Waktu itu, kami tak mahu membayar denda dan keputusan itu sukar kerana terpkasa berpisah sementara dengan Pemuda PAS, parti dan keluarga.

“Tetapi itulah prinsip kebersamaan kami untuk membuktikan jalinan hubungan antara kami dengan rakan-rakan di Palestin,”katanya yang pernah dipenjara selama 1 bulan di Kajang.

Selain itu, Mahfuz ketika mengetuai Pemuda PAS secara terangan tidak menggemari istilah ‘wala’ (taat) yang membabi buta terhadap kepimpinannnya.

“Waktu itu, saya tidak mahu ahli dan pemuda, ‘wala’ membabi buta kepada saya sebaliknya bersandarkan keputusan yang dibuat atas pandangan yang pelbagai daripada semua pihak,”katanya.

Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, mahu Dewan Pemuda sentiasa berketrampilan dengan idea yang bernas seiring, perubahan semasa yang begitu cepat dengan ditambah perkembangan pesat teknologi maklumat.

“Sekarang orang dah mula kurang guna Facebook, sebab ada WhatsApp dan lain-lain lagi yang terbaru.

“Begitu cepat dan Pemuda PAS juga kena bergerak pantas dan mesti memenuhi kehendak masyarakat yang sentiasa ingin tahu dan penuh maklumat,”katanya.

Tiada ulasan: