Isnin, 25 November 2013

Negara jiran Singapura juga mengintip Malaysia, dedah risikan

OLEH LOOI SUE-CHERN

Menggunakan maklumat Edward Snowden, akhbar Belanda mendedahkan cengkaman Amerika Syarikat ke atas saluran komunikasi trans-Pasifik.Menggunakan maklumat Edward Snowden, akhbar Belanda mendedahkan cengkaman Amerika Syarikat ke atas saluran komunikasi trans-Pasifik.






















Singapura merupakan rakan utama kumpulan risikan "5 Eyes" yang memintas telefon dan memantau rangkaian komunikasi di Kuala Lumpur, ia didedahkan di dalam dokumen sama yang dikeluarkan pendedah maklumat Edward Snowden.

Kumpulan media berpengkalan di Australia, Fairfax Media melaporkan hari ini akhbar harian Belanda, NRC Handelsblad menamakan Singapura sebagai kunci utama "pihak ketiga" yang menyalurkan lima negara tersebut akses ke dalam saluran komunikasi di Malaysia.

Akhbar tersebut menerbitkan sebuah peta yang menunjukkan cengkaman Amerika Syarikat ke atas saluran komunikasi trans-Pasifik melalui kemudahan pemintasan di Pantai Barat Amerika Syarikat, Hawaii dan Guam.

Kemudahan fasiliti tersebut memintas semua kabel trafik merentas Lautan Pasifik, dan berhubung dengan Australia dan Jepun, Singapura adalah sebahagian daripada pembinaannya seperti yang ditunjuk dalam peta.

Menurut Fairfax, Malaysia dan Indonesia menjadi sasaran utama bagi kedua-dua perisikan Australia dan Singapura sejak tahun 1970-an, kerana kebanyakan telekomunikasi dan trafik Internetnya akan melalui kepulauan bandar raya negara tersebut.

Pada bulan Ogos, Fairfax juga melaporkan perisikan Singapura merupakan rakan kongsi agensi pengintipan elektronik Australia, Defence Signals Directorate, bagi meneroka kabel SEA-ME-WE-3 yang beroperasi dari Jepun, melalui Singapura, Djibouti, Suez dan Selat Gibraltar ke Utara Jerman.

Perbuatan tersebut didakwa didalangi oleh syarikat pengendali telekomunikasi Singapura, Singapore Telecommunications Limited (SingTel), salah sebuah syarikat yang dimiliki agensi pelaburan kerajaannya, Temasek Holdings.

Syarikat tersebut memiliki Peter Ong, ketua perkhidmatan awam Singapura yang dahulunya bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara dan penyelarasan risikan, diberikan jawatan dalam lembaga sebagai wakil kerajaan.

Singtel juga dipercayai memperluaskan hubungan antara Australia dan Singapura dalam perisikan dan pertahanan sejak 15 tahun lalu, menurut pendedahan tersebut.

Bulan lepas, Snowden mendedahkan Amerika Syarikat menjalankan pengintipan mereka di kedutaan di Kuala Lumpur bagi memintas dan memantau rangkaian komunikasi telefon.

Menerusi peta yang diterbitkan oleh majalah Jerman Der Spiegel dan diteliti oleh Fairfax, menunjukkan 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia, termasuk di pejabat kedutaan AS di Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.

Peta yang bertarikh 13 Ogos 2010, bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang kemudahan seperti di Singapura, Australia, New Zealand, Britain, dan Jepun, yang merupakan sekutu rapat AS.

Pada bulan Ogos, sumber perisikan Australia telah mengesahkan alat perisikan rahsia XKeyscore – yang juga didedahkan oleh Snowden – digunakan untuk mengintip Malaysia dan negara-negara Asia Pasifik yang lain.

Program XKeyscore yang digunakan sejak tahun 2008 tersebut telah dikatakan berjaya menangkap pengganas daripada risikan yang diperoleh menerusi penggunaan alat tersebut.

Tiada ulasan: