Ahad, 24 November 2013

Muktamar PAS cadang demonstrasi besar-besaran bantah GST, TPPA

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Mohamad Sabu cadang demonstrasi besar-besaran untuk membantah pelaksanaan GST, TPPA dan pembaziran kerajaan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 November, 2013.Mohamad Sabu cadang demonstrasi besar-besaran untuk membantah pelaksanaan GST, TPPA dan pembaziran kerajaan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,























PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS ketika sidang Muktamar Tahunan ke-59 membangkitkan usul demonstrasi besar-besaran bagi membantah tindakan kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan juga membantah gejala rasuah oleh Mohamad Sabu.

Timbalan Presiden PAS itu mengemukakan usul berkenaan semasa sesi perbahasan usul ekonomi di Stadium Melawati, Shah Alam di hadapan 1,129 perwakilannya.

"Maka muktamar ini mencadangkan agar satu Himpunan Rakyat besar-besaran oleh parti politik, NGO, dan semua pihak untuk membongkarkan segala penyelewengan sebagaimana laporan audit serta membantah dan mendesak kerajaan menarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA," kata Mohamad, yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu.

"Kita gerakkan rakyat membantah rasuah dan ketirisan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pelaksanaan GST akan berkuatkuasa April 2015 ketika pembentangan Bajet 2014 di Parlimen.

"Mereka gasak kita sampai tertonggeng," kata Mohamad dan menambah, Putrajaya membebankan rakyat dengan GST, namun tiada tindakan membasmi gejala rasuah dan ketirisan.

Selain GST, usul berkenaan turut menyentuh soal Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan juga pembaziran yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

"Menyedari bebanan baru dipaksakan ke atas rakyat seperti cukai GST yang akan membebankan, kenaikan harga barangan, pemotongan subsidi dan lainnya telah mendedahkan rakyat kepada bebanan ekonomi yang serius serta peningkatan kadar inflasi ekonomi," kata usul berkenaan.

Usul berkenaan turut membangkitkan soal bahawa GST adalah sistem percukaian yang bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan membawa kezaliman.

"Kerajaan haram mengambil cukai GST selagi berlaku ketirisan," kata Datuk Khairuddin Aman Razali, yang juga perwakilan dari Ulama yang bersetuju dengan usul berkenaan ketika sesi perbahasan.

"Selagi ketirisan, rasuah dan kebocoran berlaku, kerajaan haram mengenakan cukai kepada rakyat," katanya, yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tiada ulasan: