Khamis, 14 November 2013

MP: Tak adil stereotaip belia Cina dengan K-Pop

 

 

Seorang MP Pakatan menyelar tindakan kerajaan yang didakwa membuat tanggapan stereotaip dengan menganjurkan konsert K-Pop untuk menarik penyertaan anak muda dari masyarakat Cina ke program seperti Hari Belia 2012.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang mencelah semasa ucapan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata langkah tersebut tidak adil kerana menganggap golongan anak muda terbabit hanya berminat dengan hiburan K-Pop.

Beliau sebaliknya secara sinis mencadangkan agar kerajaan menganjurkan perhimpunan seperti BERSIH yang mendapat sambutan golongan anak muda.

"Kalau nak tarik orang muda, belia Melayu dan Cina sama-sama, anjurkan BERSIH 3 atau BERSIH 4.

"Tak perlu perempuan pakai baju sedikit ini (artis K-Pop) untuk tarik orang muda," kata Khalid.

Khairy ketika membahaskan Belanjawan 2014 peringkat dasar sebelum bagaimanapun menepis usikan itu dan berkata kerajaan tidak akan menggalakkan golongan belia mencetuskan kekacauan dan "memukul polis".

Dalam ucapannya, Khairy menjelaskan bahawa penganjuran konsert K-Pop diadakan selepas melihat sambutan menggalakkan dari golongan belia Cina ke acara berkenaan.

"Pada tahun 2010 dan 2011 kita tak nampak penglibatan dari ramai orang terutamanya belia Cina.

"Apabila kita anjurkan konsert K-pop, beribu-ribu belia Cina hadir ke sana bersama kita," katanya.

Tiada ulasan: