Selasa, 12 November 2013

MP Padang Serai Diarah Keluar Dari Persidangan Dewan Rakyat

 
Surendran

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen PKR dari Padang Serai, N. Surendran diarah keluar dari persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah beliau berkeras mahu membentangkan usul meminta dewan mengutuk pencerobohan ke atas sebuah kuil.

Usul berhubung dakwaan pencerobohan kuil Hindu Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P. Ramlee di sini, terlebih dahulu telah ditolak Pandikar Amin di dalam kamar atas faktor tidak menepati peraturan mesyuarat.

Pandikar memberitahu persidangan Dewan sejurus selepas sesi soal jawab tamat bahawa setelah menerima cadangan usul itu, beliau telah memanggil Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memberi penjelasan mengenai tindakan yang diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad lepas, memandangkan ia isu sensitif.

"Menurut fakta Yang Berhormat beri pada saya ada pencerobohan kuil. Tanah itu milik kuil yang dirampas oleh DBKL dan perlu dikembalikan. Namun apabila saya meminta fakta-fakta daripada menteri sendiri saya dimaklumkan perkara berbeza.

"Kuil tidak dirobohkan, gambar-gambar tertentu telah saya terima. Yang cuma dirobohkan ialah struktur yang mengelilingi yang tidak kena mengena dengan kuil. Kuil yang ada masih berdiri," kata Pandikar Amin.

Katanya beliau juga telah menasihat Surendran supaya bertemu dengan Tengku Adnan untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu itu tetapi Surendran berkeras mahu membawanya ke Dewan.

"Ini bermakna Yang Berhormat tidak berlaku adil kepada saya kerana Yang Berhormat mempunyai agenda supaya selepas ini ada lagi publisiti mengenai perkara begini," katanya.

Surendran juga enggan mengalah dan telah bangkit untuk mencabar keputusan Pandikar Amin. Ini menyebabkan Pandikar Amin bertindak mengarahkannya keluar dari Dewan.-BERNAMA

Tiada ulasan: