Ahad, 3 November 2013

MIC bertindak halang Ahli Parlimen DAP lawat bazaar Deepavali

965710_10151723924480911_712584525_o (1)


KLUANG – Rekonsiliasi nasional ala Najib Razak nampaknya tidak mendatangkan hasil apabila sekumpulan penyokong MIC Bahagian Kluang bertindak menghalang Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong daripada melawat bazaar Deepavali di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, Chin Tong dan ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin beserta veteran DAP K. Sila Dass dihalang sekumpulan penyokong MIC yang diketuai Setiausahanya, Vasu yang merupakan seorang guru, daripada melawat bazaar Deepavali di Jalan Station.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP memberitahu melalui laman sosial Facebooknya bahawa mereka dihalang apabila cuba bersalam dengan pengunjung bazar sambil mengucapkan Selamat Deepavali.

“Menurut mereka, kami tidak dibenarkan masuk kerana kawasan itu di bawah MIC.

“Padahal tempat itu adalah tempat awam yang bukan milikan mana-mana peribadi termasuk MIC,” ujar beliau.

Dalam satu perkongsian lain dalam Facebook yang sama, Chin Tong menyebut bahawa mereka ke sana sekadar untuk berkongsi kemeriahan Deepavali dengan orang awam yang berkunjung ke bazaar berkenaan.

“Jalan Station adalah sebuah ruang awam yang bukan hak milik mana-mana parti politik,” katanya sambil menyifatkan sikap seakan samseng sedemikian adalah tinggalan politik zaman silam dan tidak ada tempat dalam iklim politik semasa. – Roketkini.com

Tiada ulasan: