Isnin, 25 November 2013

Menteri digesa beri jaminan pembinaan insinerator Kepong bukan pilihan tetap kerajaan


insenerator1
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi jaminan bahawa pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong bukan pilihan tetap walaupun ia dijalankan melalui tender terbuka antarabangsa.

Beliau berkata, ini kerana penduduk bimbang cadangan pembinaan itu akan menjejaskan kesihatan mereka.

Menurutnya, penduduk bimbang selepas proses pembakaran itu akan menyebabkan gas dioksin beracun bebas, kos pembinaan yang tinggi dan mungkin harga hartanah jatuh.

“Saya mahu menteri memberi jaminan kepada penduduk di Kepong yang terjejas dengan pembinaan insinerator. Jaminan itu adalah seperti terma rujukan bagi tender terbuka antarabangsa akan didedahkan kepada umum dan tidak berat sebelah.

“Semua tawaran pilihan ‘sisa buangan kepada tenaga’ juga harus disediakan secara umum agar mendapat penelitian awam.

“Jika Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) menunjukkan teknologi yang dipilih tidak sesuai, penyelesaian ‘sisa buangan kepada tenaga’ daripada bida antarabangsa tidak perlu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini ternyata Abdul Rahman tidak telus melaksanakan tanggungjawabnya terutama dalam proses pembidaan, terma rujukan tawaran, kos dan maklumat lain yang relevan berkaitan penyelesaian ‘sisa buangan kepada tenaga’ ini.

Tegasnya, jika Abdul Rahman gagal memberi jaminan seperti yang dinyatakan, ia hanya akan meningkatkan rasa tidak percaya penduduk Kepong bahawa bidaan terbuka antarabangsa dan DEIA hanya satu cara untuk membenar pembinaan insinerator itu.

Sebelum itu, kira-kira jam 10 pagi, sekumpulan penduduk Kepong yang diketuai badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) telah berarak sejauh 15 kilometer dari Taman Sri Murni ke Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Parlimen menyerahkan memorandum bantahan mereka.-Roketkini.com

Tiada ulasan: