Jumaat, 22 November 2013

Menteri BN kalut terpaksa pertahan si 'RATU SHOPPING' ROSMAH - Rafizi

Oleh Maria Begum, Malaysia Chronicle



KUALA LUMPUR - Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, telah dinobatkan sebagai Ratu Beli-belah oleh Ketua Pembangkang yang sudah meluat, hairan dan jijik pada pendedahan yang telah dilakukan di Parlimen berikutan perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan untuk lawatan peribadinya ke Qatar.

"Pengesahan oleh YB Azalina (Ahli Parlimen Pengerang) bahawa Rosmah pergi atas kapasiti peribadinya dengan menggunakan jet peribadi yang dibayar menggunakan dana kerajaan adalah satu penghinaan besar terhadap rakyat di saat kita diminta untuk menempuh kesukaran yang disebabkan oleh penarikan balik subsidi-subsidi kerajaan," Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberitahu Malaysia Chronicle.

"Apa yang lebih mengejutkan adalah dia pergi atas dasar peribadi, kami diberitahu bahawa dia telah diiringi oleh pegawai-pegawai dan para pembantunya. Siapa yang menaggung semua perbelanjaan mereka? Tidak syak lagi tentunya pembayar cukai. Sikap borosnya dan suka menggunakan duit rakyat menampakkan bahawa dia langsung tiada akauntabiliti seolah-olah dia adalah seorang ratu, saya akan mahkotakan dia sebagai.. Ratu Beli Belah "

Isu duit rakyat tapi media arus perdana senyap

Satu lagi episod 'membeli-belah' Rosmah telah menguasai ruangan media alternatif minggu ini secara keseluruhan, walaupun media yang dikawal oleh kerajaan umpama pekak dan secara terang-terangan mendiamkan diri walaupun isu ini melibatkan penyalahgunaan dana awam.

Bantahan besar yang dicetuskan terhadap 'Wanita Pertama' yang berusia 62-tahun ini menampakkan lagi bahawa dia tidak disukai orang ramai dan kebencian mereka yang meluap-luap terhadap pentadbiran suaminya, yang telah dituduh lemah dan gagal dalam pengurusan kewangan negara.

Di bawah Najib, yang mengambil alih sebagai PM pada tahun 2009, penarafan Malaysia buat pertama kalinya dikurangkan kepada 'negatif' oleh Fitch, dimana rekod menunjukkan hutang negara masih tinggi dan terus meningkat berserta defisit fiskal.

Dan seperti yang telah didakwa Rafizi, pentadbiran Najib nampaknya hanya mengambil jalan mengurangkan subsidi, walaupun untuk barang keperluan seperti gula, tetapi dalam masa yang sama mengenakan cukai baru seperti GST yang digeruni, dan ini dijangka akan mencetuskan satu lagi pusingan kenaikan harga, demi mencari jalan untuk mengeluarkan diri mereka dari beban hutang.

Tiada usaha telah dibuat untuk mengurangkan perbelanjaan di peringkat kerajaan. Malah ada petunjuk yang jelas diberikan oleh pegawai-pegawai tinggi bahawa tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 25% pada awal tahun depan.

Membeli belah di Dubai

Ada kemungkinan beberapa faktor ini telah menyumbang kepada kemarahan rakyat terhadap lawatan Rosmah.

Apabila rakyat marhean terpaksa mengikat perut, dia telah terbang ke Qatar menaiki jet peribadi untuk memberi ucapan di sebuah seminar perniagaan, berserta bekas menteri wanita yang penuh kontroversi, Sharizat Jalil dan juga sekumpulan isteri para menteri kabinet.

Pada mulanya, kerajaan Umno-BN berdolak dalih apabila ditanya di Parlimen apakah tujuan sebenar lawatan 4 hari ke Timur Tengah itu. Mereka juga cuba membuli untuk melarikan diri tanpa memberi jawapan. Walau bagaimanapun, ia hanya meningkatkan spekulasi tentang untuk apa, mengapa dan bagaimana lawatan Rosmah itu dilakukan.

Selepas penjelasan Azalina kepada Parlimen, mereka yang telah membuat spekulasi bahawa isteri PM telah menyalahgunakan keistimewaan dan kuasanya, dengan menggunakan lawatan ke Qatar sebagai alasan untuk singgah di syurga membeli-belah Dubai kini merasa bahawa apa yang mereka lakukan adalah wajar.

Menteri BN dungu tempis kritikan dalam ketakutan

Tidak kurang mengejutkan adalah sikap berdiam diri Najib di atas isu kontroversi isterinya. Bukan sahaja dia senyap, malah membiarkan beberapa menterinya menjawab tuduhan dalam keadaan panik untuk mempertahankan isterinya.

"Ia nampak agak bodoh terutama sekali justifikasi dari Shahidan yang tidak masuk akal. Najib perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan -. Dia adalah PM yang dipilih, bukan isterinya," Nik Nazmi, ADUN Seri Setia, memberitahu Malaysia Chronicle.

"Ini jelas sekali penyalahgunaan kuasa. Rosmah telah melampaui batas. Tingkah lakunya memalukan kerajaan dan Umno-BN" Ahli Parlimen Batu, Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle.

Kedua-dua ahli politik pembangkang itu telah merujuk kepada pembelaan yang dilakukan oleh Menteri Hal Ehwal Parlimen, Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar.

Noh berkata: "Saya tidak faham mengapa mereka tidak menghargainya. Pembangkang memang begini. Mereka yang menjadi kebanggaan negara dianggap sebagai musuh, manakala mereka yang menjatuhkan nama negara dianggap sebagai.. wira."

Shahidan menambah: "Minta maaflah sekiranya saya nak cakap, kamu semua telah tidak berlaku adil kepada beliau. Jika kamu pandai sangat, cubalah bawa pelabur ke sini Jika kamu benci sangat kepada beliau nanti pelabur akan takut nak ke sini. Saya rasa sedih kerana semua orang suka mengapi-apikan kebencian terhadap beliau. Berapa ramai pelabur yang kamu boleh bawa ke Malaysia? Tak ada!

Beliau telah begitu banyak berjasa kepada negara secara percuma. Beliaulah yang telah membina negara ini. "

Umno-BN rasa tidak salah benarkan Rosmah guna jet untuk lawatan peribadi, apa kata rakyat?

Tidak seorang pun diantara orang Umno ini nampak akan kos perbelanjaan yang telah ditanggung oleh kerajaan, ataupun telah menolak permintaan rosmah dengan menegaskan bahawa perkara itu merupakan penyalahgunaan kuasa dan pembaziran yang besar.

Mereka bagaimanapun cepat menyalahkan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana dialah yang telah meluluskan penggunaan jet itu.

Setiap penerbangan menggunakan jet akan menelan perbelanjaan sebanyak RM500 000 dan Najib sendiri telah dikritik hebat kerana tidak menggunakan penerbangan komersil sahaja untuk menjimatkan perbelanjaan.

Semua sedang menanti reaksi pemimpin Umno-BN yang lain terutama sekali Paul Low, menteri yang bertanggungjawab akan hal-hal ketelusan dalam kerajaan.

Setakat ini, mereka yang masih berdiam diri adalah Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan yang sering menggambarkan dirinya sebagai pemimpin Umno alaf baru yang menentang korupsi dan P Waythamoorthy, seorang timbalan menteri yang agak lantang terhadap isu rasuah dalam kerajaan di suatu masa dahulu.

Terjemahan oleh Huzainah A Rani, Malaysia Chronicle


Tiada ulasan: