Sabtu, 16 November 2013

MB : Pemaju Bukit Cermin perlu baiki cerun, kemuka semula permohonan

Oleh : Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Selangor mengeluarkan arahan kepada pemaju Kingsley Hills Sdn Bhd (Kingsley) untuk melakukan kerja pembaikan cerun di kawasan runtuhan Bukit Cermin di Putra Height seperti disarankan perunding bebas yang dilantik kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kingsley juga memberi komitmen bertulis untuk melakukan kerja pembaikan cerun seperti yang disaran dan diperincikan tiga perunding bebas iaitu Nexus Engineering Consultan (NEC), Perunding KHS dan Mohd. Asbi & Associates.
Abdul Khalid Kredibiliti Syed Husin Menjadi Senator 2
Katanya, sehubungan itu, kerajaan negeri menarik balik arahan pemberhentian kerja pembangunan bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan pihak pemaju seperti yang dipersetujui.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna Kingsley boleh meneruskan pembangunan hartanah kerana mereka perlu mengemukakan semula pelan kerja tanah dan pembangunan untuk pertimbangan semula Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Keputusan ini dibuat selepas kerajaan negeri mendengar taklimat daripada MPSJ dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang diadakan dua minggu lalu,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, dalam mesyuarat MTES itu, beberapa keputusan lain juga dibuat untuk dipatuhi pemaju antaranya perlu menyediakan ‘As Built Structural Discontinuity Mapping’ bersama semua cadangan memperkukuhkan cerun.

katanya, pihak terbabit perlu mengadakan kajian terperinci sama ada terdapat kesesuaian memotong puncak bukit untuk mewujudkan cerun yang lebih landai kepada keseluruhan tapak.

“Mengadakan perundingan pembelian dengan pemilik tanah bagi lima lot tanah bermilik di atas puncak bukit supaya kerja pembangunan dan pembinaan dapat diintegrasikan.

“Ini akan menjadikan keseluruhan Bukit Cermin dimiliki pemilik tunggal yang akan memudahkan kerja pembangunan di atas tapak,” katanya.

Beliau berkata, Kingsley juga perlu mengemukakan semula pelan kerja tanah dan keseluruhan pembangunan untuk pertimbangan semula MPSJ.

“Perlu diingatkan bahawa pembekuan pembangunan cerun kelas tiga dan empat masih terpakai serta kerajaan negeri komited untuk memantau permohonan pembangunan cerun dengan teliti supaya kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan kehilangan harta dan nyawa boleh dielakkan,” katanya.
-NFN-

Tiada ulasan: