Rabu, 27 November 2013

MB, ADUN S'gor dapat kenaikan gaji mulai 1 Jan

 

 
 
 
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkuat kuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN dari RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.

"Kenaikan gaji ini dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid mengumumkan pembayaran setengah bulan bonus kepada kesemua 15,643 penjawat awam negeri yang akan dibayar mulai Januari depan yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM14.821 juta.

Dengan pemberian bonus itu, penjawat awam negeri menikmati satu setengah bulan bonus termasuk bonus untuk Aidilfitri yang diberikan tahun ini.

Persidangan DUN bersambung esok.-Bernama

Tiada ulasan: