Rabu, 20 November 2013

Mahfuz : Pengerusi baru BSN ‘kambing hitam’ kabinet

Oleh : AFIX REDZUAN


KUALA LUMPUR  : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menjelaskan pelantikan pengerusi baru Bank Simpanan Nasional (BSN), Tan Sri Abu Bakar Abdullah yangitamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pada Julai 2012.

Katanya, pelantikan itu menimbulkan persoalan berkenaan cerita sebenar di sebalik penamatan khidmat Abu Bakar susulan kegagalan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ketika itu.
mahfuz parlimen 01 
Mahfuz berkata, timbul tanda tanya atas pelantikan Abu Bakar sebagai Pengerusi BSN untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.

“Saya ingat ada yang tidak kena dalam proses tindakan dan pelantikan beliau. Kalau beliau bersalah atas tatatertib, bagaimana kita boleh mengharapkannya jadi pengerusi bank.

“Sebab itu, kerajaan perlu perjelaskan atas kelayakan apa Abu Bakar dilantik menjadi Pengerusi BSN kerana membabitkan pengurusan wang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau menimbulkan persoalan itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan kepadanya penamatan khidmat Abu Bakar dilakukan “demi kepentingan awam”.

Shahidan dalam jawapan bertulis kepada Mahfuz menyatakan penamatan dibuat secara teratur dan mengikut prosedur dan peraturan di bawah Peraturan 49 Peraturan-peraturan Pegawai Perkhidmatan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahfuz berkata, jika diteliti peraturan dinyatakan Shahidan itu sebenarnya membabitkan kesalahan yang dianggap serius dan kebiasaannya mereka disabitkan tidak layak mendapat pencen.

Sebelum ini, Mahfuz pernah membangkitkan isu penamatan Abu Bakar yang disifatkan menjadi ‘kambing hitam’ dalam kegagalan pelaksanaan SBPA yang diputuskan kabinet.-NFN-

Tiada ulasan: