VIDEO l 1:23 minit


Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata pengerusi parti itu Karpal Singh langsung tidak pernah menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan seperti yang digembar-gembur dalam laporan media sejak dua hari lalu.

Dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Harakahdaily hari ini, Lim berkata perkara itu dimaklumkan selepas perbualan beliau dengan ahli parlimen Bukit Gelugor itu.

"Saya telah bercakap dengan Karpal dan beliau telah menjelaskan bahawa beliau tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan," kata Lim yang juga ahli parlimen Gelang Patah.

Sebaliknya, Karpal hanya mengkritik Persatuan Peguam Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) kerana mengugut Majlis Peguam atas sokongan yang diberikan badan tersebut terhadap akhbar mingguan Katolik, The Herald, tetapi kenyataan itu telah diputar belit, kata Lim lagi.

Katanya, Karpal menjelaskan kepadanya bahawa kenyataan itu menekankan bahawa badan-badan politik atau profesional tidak wajar beroperasi dalam kerangka perkauman atau keagamaan, demi kepentingan perpaduan nasional.

Lim juga mengesyaki bahawa terdapat pihak tertentu yang cuba merosakkan kesepaduan dalam Pakatan melalui isu tersebut.

Oleh itu, parti komponen dalam Pakatan perlu berjaga-jaga bagi menghadapi usaha seperti itu, tambahnya dalam kenyataan yang tersebut, yang dihantar kepada Harakahdaily pada malam tadi.

Beliau mengulas kontroversi yang timbul susulan laporan yang mendakwa Karpal menyarankan supaya parti politik atau persatuan berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai rakyat tanpa batasan kaum dan agama.

Karpal didakwa menyebut bahawa cara itu merupakan jawapan kepada konsep perpaduan yang menjadi amalan selama ini dan sudah tiba masa semua parti berasaskan kaum dibatalkan pendaftaran, termasuk PAS jika mahu membentuk negara yang bersatu-padu.

Ekoran itu, bantahan keras timbul dari pelbagai pihak dalam PAS termasuk Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkannya kenyataan itu sebagai "serius dan membahayakan".

Mengulas lanjut, Lim berkata rakyat kini runsing dengan melonjaknya kadar retorika perkauman, kurangnya toleransi agama dan kebencian di negara ini.

"Kerisauan sebegini tidak wajar dibiar terpinggir dan diputarbelitkan dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas kononnya Karpal mahu PAS dibatalkan pendaftarannya.

"Apa yang diperlukan kini ialah supaya warga Malaysia yang rasional dan patriotik untuk mengekalkan fokus mereka menuntut supaya segala retorik perkauman kebencian dan kurangnya toleransi agama ini kian berkurang.

"(Perkara ini) jelas berlawanan dengan nilai-nilai wasatiyah dan inklusif yang dirangkum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam polisi 1Malaysianya, selain di kempen antarabangsanya ke arah ‘Global Movement of Moderates'," katanya.