Khamis, 21 November 2013

Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat puji Belanjawan Selangor

 SELANGOR KINI

SHAH ALAM : Belanjawan Selangor 2014 disifatkan sebagai prihatin apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5.5 juta untuk pemuliharaan alam sekitar dan sumber alam.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Omar, berkata peruntukan itu tidak termasuk peruntukan RM45 juta secara keseluruhan bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor yang turut menjalankan program yang menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang mengutamakan alam sekitar dalam belanjawan yang dibentangkan khususnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily, semalam.
Zulkefly Mohamad Bin Haji Omar
Zulkifli berkata, perkara itu berbeza dengan Bajet 2014 kerajaan pusat yang tidak mesra alam sekitar.

“Hak rakyat untuk dapat air yang bersih tidak ada dan ia amat mengecewakan kerana bajet itu tidak mesra alam sekitar dan tidak memikirkan generasi akan datang.

“Kita banyak sumber air tetapi masih ada masalah dalam bekalan air sebab penyelenggaraan yang tidak cekap,” katanya.

Beliau berkata, bencana banjir kilat di Lembah Bertam Cameron Highlands akhir bulan lalu bukti kerajaan tidak menitik beratkan keselamatan alam sekitar.

“Kes empangan di Cameron Highlands belum ada penyelesaian. Sungai tidak di perdalamkan dan pembuangan sisa, penerokaan bukit, pokok ditebang sesuka hati menyebabkan perkara ini memerlukan pemerhatian kerajaan,” katanya.

Abdul Khalid turut mengumumkan jumlah itu termasuk RM21.2 juta bagi pengurusan banjir, RM4.45 juta (pengurusan lembangan), RM2.49 juta (pengurusan saliran mesra alam), RM2.15 juta (pengurusan pantai) dan RM1.4 juta (pengurusan sumber air dan hidrologi).-NFN-

Tiada ulasan: