Isnin, 4 November 2013

Lagi serangan Utusan Malaysia terhadap GLC, kali ini pemimpin pelajar

OLEH MOHD FARHAN DARWIS





Bukan lagi rahsia apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lebih berminat untuk membantu syarikat bukan Bumiputera, dakwa seorang pemimpin pelajar dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim, mendakwa keengganan GLC membantu syarikat Bumiputera kini diketahui ramai dan mengingatkan syarikat yang menjadi milik negara tidak mengamalkan pilih kasih apabila menawarkan pekerjaan.

Beliau turut memberi amaran jika trend ini berterusan, ia bakal memberi kesan negatif terhadap usaha kerajaan meningkatkan taraf sosio ekonomi komuniti Melayu.

 "Menggunakan contoh kami sendiri, kami pernah meminta bantuan GLC untuk pelancaran program pendidikan. Sebaliknya mereka bertanya apa yang akan diperoleh mereka jika mereka menolong kami.

"Ini menunjukkan mereka lebih mementingkan keuntungan berbanding tanggungjawab sosial membantu orang Melayu," katanya dipetik daripada Utusan Malaysia hari ini.

Jais turut merujuk kepada salah satu GLC yang dakwanya memberikan 70% pembangunan projek di Tanjung Tokong, Pulau Pinang kepada bukan Bumiputera.

"Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya kecewa dengan tindakan GLC itu. Tiada lagikah syarikat Melayu yang mampu melakukan kerja dengan memberikan lebih separuh kerja projek kepada bukan Bumiputera," katanya.

Utusan Malaysia mula menyerang beberapa GLC termasuk laporan Awang Selamat semalam yang enggan mengiklankan produk mereka dalam akhbar berbahasa Melayu.

Menggunakan alasan bahasa kebangsaan, Awang Selamat berkata GLC berkenaan umpama melupakan jati diri mereka dan asal usul penubuhan syarikat berkenaan.

"Ramai peneraju GLC itu seperti sudah hilang jati diri dan lupa hakikat kewujudan GLC itu sendiri.

Mereka menyerahkan penentu iklan misalnya kepada pihak industri terutama agensi yang banyak dikawal ekspatriat, golongan rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan," katanya.

Memetik Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Awang Selamat turut berkata beberapa bank ternama dan syarikat telekomunikasi kurang mengiklan di akhbar berbahasa Melayu.

"Awang pun sudah hilang rasa setia menjadi pelanggan Celcom. Pilihan terbentang luas. Untuk apa lagi menyokong GLC yang lesu agenda mendaulatkan bahasa dan pemerkasaan ekonomi Bumiputera," katanya.

"Mesejnya, GLC telah memperkatakan pihak yang salah kerana membenarkan diri terperangkap dalam putaran ganas yang dicaturkan oleh industri iklan.

Isu berkaitan keengganan GLC mengiklan dalam akhbar berbahasa Melayu bermula apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa syarikat berkenaan membantu survival akhbar dengan meletakkan iklan mereka dalam akhbar berkenaan semasa perasmian bangunan baru Utusan Malaysia.

The Malaysian Insider juga telah melaporkan Putrajaya telah membuat "pusingan U" daripada kenyataan terbabit apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, dalam jawapan bertulis mengatakan kerajaan tidak pernah mencadangkan Utusan diberikan keutamaan bagi tujuan pengiklanan.

Setiausaha Publisi Kebangsaan DAP Tony Pua berkata gesaan Najib menunjukkan akhbar berkenaan kehilangan pembaca disebabkan laporan yang bersifat perkauman.

Malah, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dalam laporan Utusan turut menggesa CEO GLC yang enggan mengiklan dalam akhbar Melayu akan  dipecat.

"Jadi POKB mahu Kementerian Kewangan lebih tegas dalam memastikan saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu dipatuhi dan memecat mana-mana CEO GLC ingkar dan sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Tiada ulasan: