Selasa, 26 November 2013

Khalid ajak rakyat lawan penentang air percuma

 
Syabas berdosa besar kepada rakyat Selangor kerana selama ini gagal menguruskan bekalan air terawat secara mencukupi 





SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru rakyat di Selangor menentang mana-mana pihak yang menghalang usaha kerajaan negeri menguasai aset air dan memberikan 20 meter padu air percuma.

“Tugas negeri sekarang selesaikan masalah air dan saya akan bawa rakyat Selangor untuk menentang sesiapa yang tak memberikan kita menguasai aset air negeri ini,” katanya yang kemudian mendapat tepukan gemuruh ahli Dewan  Undangan Negeri.

Beliau berkata sedemikian apabila menerima desakan daripada wakil pembangkang yang meminta penjelasan mengenai krisis bekalan air di Selangor.

Namun mempertahankan pihaknya sudah beberapa kali menerangkan isu ini kepada umum dan tidak punya masa untuk menerangkan secara panjang lebar dalam Dewan Negeri.

Tambahan, katanya masalah bekalan air yang diuruskan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) wujud sejak tahun 2006 dan diakui kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Katanya, Syabas berdosa besar kepada rakyat Selangor kerana selama ini gagal menguruskan bekalan air terawat secara mencukupi yang melibatkan kepentingan semua pengguna tak kira kaya atau miskin memandangkan ia adalah perkara utama dalam kehidupan.

Jelasnya, Selangor menghadapi masalah apabila penswastaan air ini tidak dapat diuruskan dengan cara yang dijanjikan dalam penswastaan air Syabas.

Melalui perjanjian dengan Syabas pada tahun 2011, terdapat penurunan bekalan air tak terawat (NRW) daripada 30% kepada 19.98% tetapi menurut Khalid apa yang berlaku sekarang NRW meningkat menjadi 33%.

“Jadi ini yang sebabkan kita kekurangan air terawat, jawapan kita ialah kita mesti selesaikan NRW,” katanya.

Beliau berkata, Syabas membelanjakan dana RM1.169 juta yang diperoleh daripada kerajaan Pusat tetapi NRW tetap naik 33% .

“Syabas punya kabel yang besar untuk dapat RM500juta daripada Pusat dengan faedah yang tak dibayar selama lima tahun awal,” katanya.

Katanya, Selangor ada 4.8 juta liter air, yang boleh diagihkan ialah 4.6 juta liter sehari daripada 32 loji rawatan air yang ada di negeri itu.

Malangnya, menurut Khalid terdapat kebocoran 30% NRW apabila hanya 3.9 juta liter air terawat sehari sahaja yang sampai kepada pengguna.

Malah berlaku juga isu tender bekalan dan kontrak penyelenggaraan paip air Selangor yang bermasalah sejak dulu lagi.

“Saya tak nak sebut perkara ini…saya tak nak menambahkan dosa lagi,” katanya.

Mendapati Syabas dan Puncak Niaga tidak berupaya dari segi pengurusan dan kekuatan modal untuk menyelesaikan isu ini, kerajaan negeri memutuskan untuk ambil alih industri air dan kini sudah diperingkat akhir proses tawaran dengan Pusat, katanya.

Tiada ulasan: