Kereta hibrid mahal tahun depan? 
 Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) melihat kereta hibrid keluaran Toyota di pelancaran promosi Pameran Motor Antarabangsa,September lalu.
 

HARGA kenderaan hibrid kemungkinan akan meningkat sekiranya kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan pengecualian duti import dan eksais ke atas kereta hibrid yang akan tamat pada akhir tahun ini.

Seorang penganalisis industri automotif berkata, apa yang diketahui mereka setakat ini adalah insentif bagi kenderaan hibrid yang dinikmati pengeluar kenderaan jenama asing sekarang tidak akan dilanjutkan oleh kerajaan.

“Sebaliknya, kerajaan dijangka memberikan insentif cukai kepada kenderaan hibrid yang dipasang dalam negara (CKD) tetapi bukan lagi kepada kenderaan hibrid yang diimport siap dipasang (CBU),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, ini bermakna mana-mana kenderaan hibrid yang diimport selepas 1 Januari 2014 akan dikenakan duti import dan eksais, menjadikan harga kenderaan hibrid import yang dijual di negara ini jauh lebih mahal berbanding sekarang.

Sementara itu, penganalisis MIDF Research pula berkata, status pelaksanaan insentif cukai untuk kenderaan hibrid belum diketahui buat masa ini sehinggalah Dasar Automotif Nasional (NAP) diumumkan, tahun depan.

“Jika insentif cukai itu tidak dilanjutkan, kesannya adalah harga bagi kenderaan import hibrid akan meningkat,” katanya.

Harap insentif cukai hibrid kekal

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia Mohamad Madani Sahari berkata, pihaknya berharap insentif cukai itu akan terus dilanjutkan selari hasrat kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau untuk kenderaan hibrid dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Kita tunggu sahaja apabila NAP diumumkan pada pertengahan Januari tahun depan,” katanya ketika diminta mengulas kemungkinan insentif cukai itu dilanjutkan atau sebaliknya.

Sebelum ini, penganalisis dan pemain industri automotif mempersoal status insentif cukai bagi kenderaan hibrid selepas tiada sebarang pengumuman dibuat mengenainya pada pembentangan Bajet 2014, bulan lalu.