Rabu, 6 November 2013

Kerajaan Mongolia rancang ke Malaysia ikuti prosiding kes Altantuya


3d32cc3cb3dad58e4bdc2da97ca4055c_XL


SHAH ALAM : Setev Shaariibuu, bapa Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh secara kejam dan kerajaan Mongolia ingin tahu apa yang berlaku terhadap rayuan yang mereka bawa kepada Kerajaan Malaysia berikutan pembebasan dua bekas polis yang membunuhnya pada 2006.

Ini berikutan tiada apa-apa perkembangan dan khabar berita daripada Pejabat Peguam Negara selepas lebih dua bulan pembebasan Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Peguam, Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi Shaariibuu berkata, anak guamnya sentiasa berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan rayuan itu.

“Dua minggu lalu, duta Mongolia di Bangkok, yang juga bertanggungjawab terhadap Malaysia, menulis kepada saya untuk bertanya tentang kes ini,” katanya, dipetik The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Kerajaan Mongolia berhasrat untuk menghantar delegasi untuk mengikuti prosiding di Mahkamah Persekutuan yang menjadi medan akhir bagi kes rayuan berkenaan.

“Kes ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan, tetapi juga diikuti oleh orang luar di negara lain termasuk di Mongolia,” katanya.

Karpal berkata, rayuan bagi kes pembunuhan berprofil tinggi ini boleh berjalan dengan lebih cepat sekiranya Mahkamah Persekutuan mengambil inisiatif untuk menetapkan tarikh pendengaran.

“Mahkamah Persekutuan boleh membuat pengecualian kepada kes ini yang melibatkan kepentingan orang ramai, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Karpal membandingkan dengan kes Fitnah II Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh rayuan dengan segera.

Beliau berkata, Putrajaya dikatakan sengaja melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasan Azilah dan Sirul.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 23 Ogos, hari yang sama rayuan polis itu dibenarkan.

Penghakiman bertulis disediakan pada 26 Ogos.

Satu panel yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Apandi Ali berkata, dalam penghakiman mereka, antara lain kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil DSP Musa Safri, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Najib Razak, melemahkan kes pendakwaan.

Karpal berkata, Pejabat Peguam Negara seharusnya memfailkan petisyen rayuan dan menyatakan sebab mengapa Mahkamah Rayuan bersalah apabila ia membebaskan dua anggota polis berdasarkan penilaian bertulis semata-mata.

“Mereka boleh mempercepatkan proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan walaupun tanpa mempunyai rekod keseluruhan rayuan,” katanya.

Beliau berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang juga adalah pegawai mahkamah, mempunyai peranan dalam memastikan perbicaraan dan rayuan dijalankan tanpa bertangguh.

Pemeriksaan dengan peguam yang hadir bagi kedua-dua bekas anggota polis itu mendedahkan bahawa Pejabat Peguam Negara masih belum memfailkan rekod rayuan kerana tiada salinan diberikan kepada peguam itu.

Kedua-dua polis itu didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.

Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang didakwa sebagai kekasih kepada Altantuya, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dari dakwaan bersubahat tanpa dipanggil untuk membela diri.

Bapa Altantuya, Setev juga mahu kes ini diselesaikan dengan segera kerana ingin mengambil tindakan saman sebanyak RM100 juta terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul dan kerajaan atas kematian anaknya.

Bagaimanapun, samannya itu tidak boleh didengar selagi kes jenayah berkenaan tidak selesai.
-Keadilan Daily

Tiada ulasan: