Jumaat, 1 November 2013

Kegiatan Pengintipan: Wisma Putra Dapatkan Penjelasan Duta AS

MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Joseph Y. Yun berhubung dakwaan mengenai kegiatan pengintipan di kedutaan negara itu di sini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Khamis berkata Yun menyatakan semua kegiatan pengawasan yang dijalankan oleh AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan.

Ini khususnya untuk mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.

Isu itu timbul berikutan laporan akhabar mengenai dakwaan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Joseph Snowden yang mendedahkan bahawa AS mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaan AS di Kuala Lumpur.

"Duta itu menyatakan Kedutaan AS telah menerima arahan daripada Washington D.C. untuk menyemak semula skop kerjanya dalam perkara itu," kata Anifah dalam kenyataan.

Menteri itu berkata Duta Amerika itu turut memberi jaminan bahawa privasi individu tidak akan terjejas.

"Wisma Putra sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa relevan Malaysia berhubung perkara ini dan sekiranya terdapat bukti sahih, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Wisma Putra memberi jaminan keselamatan dan kedaulatan Malaysia adalah menjadi keutamaan kerajaan Malaysia," kata Anifah. - BERNAMA

Tiada ulasan: