Jumaat, 1 November 2013

KEADILAN desak kedutaan AS, Australia jelaskan isu risikan terhadap Malaysia

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia perlu memberi penjelasan mengenai risikan terhadap Malaysia menggunakan kedutaan dan suruhanjaya tingginya.

snowden

Akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pendedahan ‘whistleblower’ Edward Snowden bahawa risikan dibuat bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.

“Operasi risikan ini didakwa dijalankan di bawah operasi ‘STATEROOM’ turut melibatkan Britain dan Kanada,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Tambahnya, tindakan itu turut mendapat kecaman Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rata-rata aktiviti pintasan dilakukan tanpa pengetahuan duta-duta di kedutaan dan suruhanjaya tinggi tersebut.

ABN_News

“Kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia perlu memberi penjelasan tentang dakwaan ini kepada kerajaan dan rakyat Malaysia,” kata Fahmi.

Beliau turut mendesak Putrajaya bertindak tegas dan menghantar nota bantahan kepada kedutaan dan suruhanjaya tinggi tersebut.

‘Ada kemungkinan risikan ini diguna untuk kelebihan strategik negara-negara tersebut. Lebih-lebih lagi tatkala Malaysia terlibat di dalam perbincangan berkaitan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA),” katanya.

Katanya risikan seperti ini pernah berlaku, seperti dibangkitkan kerajaan Timor Timur yang menyatakan risikan pihak Australia diguna untuk memintas komunikasi pejabat kerajaan sewaktu perundingan rizab minyak dan gas di Timor Gap.

“Sebarang risikan yang dilakukan negara luar di dalam Malaysia wajib dikecam dan tidak dibenarkan terus berlaku, demi keselamatan ekonomi dan kedaulatan negara,” tegasnya.

Tiada ulasan: