Khamis, 14 November 2013

Kaum Iban penyokong kuat BN di Sarawak pun dipinggir

AliceLau-hitea


KUALA LUMPUR,: Bumiputera Iban yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN) di Sarawak terus dipinggirkan parti yang memerintah negeri itu apabila kebanyakan mereka yang tinggal di rumah panjang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, berkata antara masalah berterusan yang menghantui penduduk rumah panjang ialah bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

“Mereka terpaksa mengggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik,” katanya dalam sesi perbahasan Bajet 2014 baru-baru ini.

Alice berkata, penduduk terpaksa bergantung kepada generator yang menggunakan diesel yang diangkut ke rumah panjang untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Selain itu, katanya, golongan bumiputera turut berhadapan masalah bekalan air bersih walaupun sebahagian kawasan itu mempunyai paip air.

“Kawasan Lanang seperti kawasan Naman yang dekat dengan pasar telah mempunyai saluran paip tetapi air belum disambungkan. Ini bermakna paip ada tetapi air belum ada.

“Cukupkah bekalan air yang dibekalkan dalam tangki untuk kehidupan harian, minum dan sebagainya? Mungkin mereka boleh mandi di sungai, tetapi sanggupkah mandi dalam air sungai yang keruh yang berwarna macam teh tarik,” katanya.

Tambah membebankan, kata Alice, apabila tiba musim kemarau kerana penduduk terpaksa memohon bekalan air daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada semasa ke semasa.

“Permintaan mereka banyak kali tidak dilayan atau penghantaran adalah agak lambat.

“Saya mencadangkan dan berharap agar menteri sendiri turun melawat rumah panjang di Sarawak dan menggesa kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya sudah lama mereka peroleh,” ujarnya lagi.-Roketkini.com

Tiada ulasan: