Ahad, 24 November 2013

K-Pop: Inovasi apa dengan pakaian tidak senonoh

Harakahdaily 


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) amat kesal dengan sikap kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan  yang akhirnya mengaku memanggil artis K-Pop dari Korea Selatan dengan bayaran RM1.6 juta pada sambutan Hari Belia 2012.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, lebih parah beliau menjustifikasikannya dengan menyatakan berjaya memberi pulangan berlipat kali ganda kepada negara iaitu sebanyak RM140 juta.

Beliau turut mempertikai kenyataan menteri yang menerajui KBS itu yang kini menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap ini sebagai kejayaan utama yang dapat dinilai dari segi pulangan wang ringgit kepada hasil negara.

“Kami menyelar sikap Menteri tersebut yang sama sekali tidak menghormati Dasar Kebudayaan Kebangsan dan Islam sebagai agama Persekutuan yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama lebih dari soal pulangan wang dan  inovasi dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kerajaan.

“Kami mempersoal inovasi apa yang beliau maksudkan dengan mempersembah penari Korea yang berpakaian tidak senonoh untuk menarik belia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) amat kesal dengan sikap kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan  yang akhirnya mengaku memanggil artis K-Pop dari Korea Selatan dengan bayaran RM1.6 juta pada sambutan Hari Belia 2012.

Lebih parah beliau menjustifikasikannya dengan menyatakan berjaya memberi pulangan berlipat kali ganda kepada negara iaitu sebanyak RM140 juta.

Menteri yang menerajui KBS kini menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap ini sebagai  kejayaan utama yang dapat dinilai dari segi pulangan wang ringgit kepada hasil negara.

Kami menyelar sikap Menteri tersebut yang sama sekali tidak menghormati Dasar Kebudayaan Kebangsan dan Islam sebagai agama Persekutuan yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama lebih dari soal pulangan wang dan  inovasi dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kerajaan.

Kami mempersoal inovasi apa yang beliau maksudkan dengan mempersembah penari Korea yang berpakaian tidak senonoh untuk menarik belia.

Inikah darjat pemikiran seorang Menteri yang hendak menerajui pembentukan budaya generasi muda di negara ini?

Dengan berjaya menonjolkan budaya asing untuk menarik 2.4 juta pengunjung di Sambutan Hari Belia, ia bukan satu ukuran yang sepatutnya dibanggakan.

Menarik penaja untuk membiaya K-Pop yang jelas merupakan budaya asing yang bercanggah dengan nilai budaya negara, bagi kami adalah polisi yang sangat memalukan.

Kami tidak boleh menerima sama sekali alasan beliau bahawa soal K-Pop hanya salah satu dari 500 acara sambutan dan ia tidak perlu diperbesarkan.

Menteri beralasan untuk Malaysia ada satu acara ikonik kerana membandingkan dengan  Brazil yang ada Karnival Rio, Jerman ada Oktober Fest, bermakna beliau mempunyai pemikiran yang suka plagiat budaya dan acara orang lain untuk dibawa ke Malaysia.

Bila beliau berkata tiga kumpulan K-Pop yang dipanggil itu merupakan antara 10 kumpulan paling popular di Korea Selatan tetapi untuk mendapatkan tempahan, sejumlah deposit daripada RM900,000 perlu dibayar, ini bererti beliau tidak terfikir sama sekali apa rasional untuk membawa penari bergaya tidak senonoh itu betapa popular sekalipun mereka itu.

Bagi kami ini bukan isu tiada salah laku dalam cara perbelanjaan tetapi adalah soal apa justifikasi  beliau meluluskan membawa penari K-Pop itu.

Ini juga bukan isu politik. Bagi kami ini adalah isu kerosakan budaya dan percanggahan nilai dan moral rakyat dan negara yang dibawa sendiri oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat.

Kami kesal PAC begitu dangkal dalam menangani isu ini yang hanya dilihat dari segi prosedur bayaran. Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed ternyata tidak memahami kemarahan rakyat bila wang rakyat dibelanja untuk membiayai penari yang tidak ada kena mengena dengan soal pembentukan sahsiah belia di negara ini.

Kami menyatakan bantahan kami kepada sikap kerajaan yang jelas tidak sensitif dengan soal kerosakan akhlak generasi muda  dengan membawa artis luar negara yang tidak melihat kesan dan imej yang akan terbentuk kepada generasi muda.

Bila Pengerusi PAC itu berkata bajet yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery untuk Hari Belia 2012 dahulu amat sesuai dengan dasar kerajaan yang mahukan setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberi pulangan sekali ganda atau lebih, bermakna harga nilai moral bagi kerajaan adalah lebih rendah berbanding pulangan nilai wang ringgit.

Kami berpendirian kerajaan telah melakukan suatu jenayah dan pengkhianatan budaya yang sangat besar bila wang rakyat diguna untuk mengimport persembahan yang rendah moral dan sama sekali bertentangan dengan Dasar Budaya Kebangsaan dan Islam sebagai agama di negara ini.

Tiada ulasan: