Ahad, 24 November 2013

JAIS : Masjid di Selangor bakal jadi ‘universiti terbuka’

Oleh : NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam usaha menjadikan masjid di negeri itu sebagai ‘universiti terbuka’ bagi memudahkan masyarakat mendapat kefahaman berkenaan agama.

Pemangku Pengarah JAIS, Zaki Arshad, berkata pihaknya akan meneliti beberapa modul terbaik untuk dijadikan bahan kepada masjid yang terpilih di negeri itu bagi menjalankan kuliah dan program.

Katanya, program itu dilihat akan memberikan kefahaman yang menyeluruh kepada orang ramai, di samping dapat mengimarahkan masjid sebagai institusi pendidikan agama.

“Kita mahu membina kefahaman rakyat dan perlu mengorak langkah untuk lebih ke hadapan. Kita juga mahu memindahkan institusi pondok kepada masjid.

“Hal ini kerana institusi pondok kurang mendapat sambutan dan kita boleh laksanakannya di masjid negeri Selangor,” katanya ketika membincangkan prosiding pengurusan masjid peringkat kebangsaan 2013, di Auditorium Datuk Yahya Ahmad, SIRIM, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi.

sallehin mukhyi green batik 01

Sementara itu, Sallehin berkata, kerajaan negeri akan melantik jawatankuasa masjid yang akan mengendalikan tabung dan kebajikan golongan mualaf bermula tahun depan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengendalikan hal kebajikan golongan itu termasuk mengajar ilmu agama dan fardu ain.

Beliau berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan kerana terdapat 93 permohonan golongan mualaf yang mahu keluar daripada Islam.

“Mereka ini masuk Islam disebabkan mahu mendapatkan duit dan kita tidak mahu faktor ini menjadi punca masalah murtad. Kita mahu jawatankuasa ini membimbing mereka dengan cara yang terbaik selepas memeluk Islam,” katanya.

Program terbabit anjuran JAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Zakat Selangor yang menghimpunkan pentadbir masjid, imam besar, jabatan agama islam negeri dan pegawai takmir bagi membincangkan fungsi serta pelaksanaan pengimarahan masjid.-NFN-

Tiada ulasan: