Isu bilal, imam dipecat: Kariah mahu kepastian  
Bekas Bilal I, Mohamad Kasim Shariff (kiri) bersama Ismail (dua, kiri) dan beberapa ahli jawatankuasa bertindak bersama serta bekas Bilal II, Muhmmad Yasser A Rashid menghantar bantahan di Pusat Islam Iskandar, semalam.


JOHOR BAHRU - Susulan pemecatan seorang imam dan tindakan menamatkan perkhidmatan tiga bilal Masjid Taman Perling,  satu bantahan rasmi dihantar kepada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

Serahan bantahan itu dikemukakan Jawatankuasa Kariah (bertindak) masjid tersebut bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan yang dikenakan ke atas imam dan tiga bilal terlibat.

Pengerusinya, Ismail Dahwan berkata, bantahan tersebut dihantar bagi mendapatkan campur tangan dan keputusan jelas isu tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Agama, Abdul Mutalip.

Menurutnya, antara isi kandungan yang dikemukakan ialah pemecatan ini dilihat tidak dibuat mengikut peraturan dan undang-undang (enakmen) bahkan tidak disebut dengan jelas jenis kesalahan yang menyebabkan individu ini diberhentikan serta-merta.

“Kami juga mengemukakan beberapa perkara lain susulan pemecatan ini sebagai sokongan dan tindakan pihak yang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sewajarnya dan kebenaran.

“Dalam bantahan ini, kami turut melontarkan pandangan ke atas Jawatankuasa Majlis untuk kebaikan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bantahan tersebut turut dihantar kepada Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Ahli Parlimen Pulai, Pengarah Jabatan Agama Johor, Pegawai Daerah Johor Bahru, Kadi Daerah Johor Bahru dan Pengerusi Jawatankuasa  Masjid Perling.

Antara kandungan lain yang dikemukakan ialah Imam yang terlibat, Muhammad Yusuf Baharuddin, dilantik oleh MAINJ berasaskan tauliah yang dimiliki mengikut klausa 100(1)(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003.

Selain Muhhammad Yusuf turut memiliki tauliah imam yang ditetapkan bertugas di masjid tersebut di mana pelantikan jawatannya boleh ditamatkan dengan notis bertulis dari MAINJ klausa 102(1) Enakmen dan MAINJ tidak menurunkan kuasa kepada Pengerusi Masjid bagi urusan pelantikan ataupun menamatkan perkhidmatan pegawai masjid.

Turut disentuh, sebagai penambahbaikan pengurusan masjid tersebut, Ismail berkata, tugas imam dan bilal sepatutnya tertakluk kepada kawalan MAINJ sahaja bukan di bawah Jawatankuasa Masjid (klausa 103 enakmen); pegawai dan jawatankuasa
masjid sepatutnya memikul amanah dan tanggungjawab mentadbir, mengurus dan mengelola dalam keadaan baik (Klausa 104(2)(a)(b)(c) enakmen).

Antara lain, Koperasi Masjid Taman Perling, sepatutnya diasingkan daripada mencampuri pengurusan masjid, aturcara mengurus wang tabung masjid atau sumber pendapatan daripada jemaah sepatutnya sudah disediakan bagi kegunaan jawatankuasa masjid yang menguruskannya.

Surat bantahan tersebut turut dikepilkan tandatangan 166 individu yang tidak bersetuju atas tindakan yang diambil.