Isnin, 18 November 2013

Hassan JATI Sokong Ulama - Sokongan Yang Membawa Rebah?

Kami sokong ulama, kata Jati

KELAB GREENBOC
 

PETALING JAYA: Kumpulan pembela Melayu dan Islam, Jalur Tiga Malaysia (Jati) hari ini menyatakan sokongan terbuka mereka kepada kepimpinan ulama didalam parti PAS untuk muktamar pemilihan yang bakal berlangsung minggu depan.

Presiden Jati, Datuk Hassan Ali turut menempelak golongan profesional di dalam PAS yang menurut beliau adalah serpihan parasit yang cuba memecah-belahkan parti Islam itu.

Beliau turut berkata PAS pada saat ini sedang berada di persimpangan untuk memilih antara dua kelompok untuk menentukan hala tuju masa depan parti tersebut.

“Jati amat mengharapkan kelompok ulama akan terus menerajui PAS. Syukur presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicabar dan kami harap beberapa jawatan penting turut dimenangi oleh golongan ulama,”

“Kelompok profesional ini bagi saya adalah parasit yang cuba meruntuhkan asas perjuangan PAS selama ini,” beliau bertegas. Dalam pada itu, Hassan Ali berkata bahawa masanya juga telah tiba untuk PAS menimbang semula perjuangan meraka di dalam parti Pakatan Rakyat.

Beliau menambah bahawa sokongan orang Melayu kepada PAS ketika piliharan raya umum yang lepas menunjukkan bahawa PAS telah hilang sokongan besar undi orang Melayu ekoran penglibatan mereka bersama DAP dan PKR.

“Muktamar ini juga satu peluang besar untuk PAS menimbang semula hubungan mereka di dalam Pakatan Rakyat,”

“Jelas sokongan orang melayu sudah merosot kepada PAS kerana PAS sedang dilihat membawa dasar perjuangan liberal yang lari dari wadah perjuangan Islam,” Hassan menambah.

PAS lebih ke hadapan

Norman Toha yang juga Setiausaha Agung Jati pula yakin bahawa PAS akan lebih ke hadapan jika parti itu berpisah daripada Pakatan Rakyat.

Norman yang turut mengakui bahawa beliau adalah ahli sah PAS, menyoal parti itu yang dikatakan sedang menjadi alat kepada DAP dan PKR.

“PAS sudah mula lari daripada perjuangan, oleh sebab itu orang Melayu enggan mengundi PAS dan sekarang jelas PAS dilihat sebagai alat politik sahaja,” beliau menambah.

Turut diperkatakan adalah peranan beberapa individu didalam Pakatan Rakyat yang dilihat sebagai gangguan untuk PAS memacu ideologi Islam yang menjadi asas penubuhan parti tersebut.

“Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara individu dalaman yang menggangu PAS. Boleh dikatakan mereka ini adalah gangguan dalaman dalam PAS,”

“PAS akan hidup semula jika kembali menjadi parti politik tunggal,”

Walaubagaimanapun, ketika disoal samada Hassan akan semula menyertai PAS, bekas ahli exco Selangor itu berkata bahawa beliau akan menimbangkan jika mendapat jemputan kepimpinan tertinggi parti tersebut tetapi turut berkata bahawa beliau harus berbincang bersama ahli Jati yang lain.

“Setakat ini tiada. Saya tidak menerima apa apa jemputan jikalau ada daripada kepimpinan tertinggi saya akan mempertimbangkan,”

“Tetapi saya harus berbincang bersama sama ahli Jati yang lain. Saya tidak rasa timbalan presiden Jati akan membenarkan saya untuk menyertai PAS,” kata beliau sambil berseloroh. -FMT


Timbalan presiden PAS: Sokongan Utusan “membawa rebah” kepada Mohd Amar?


Pertembungan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden PAS di antara Mohamad Sabu dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat sebagai pertembungan di antara kumpulan anti ulama dan pro ulama walaupun ironinya, Mohamad dan rakan-rakannya dalam Pemuda pada tahun 1982 yang membawa usul kepimpinan ulama dalam parti Islam itu.

Mohamad kini dianggap sebagai mewakili golongan profesional atau Edorgan manakala Mohd Amar dikatakan mewakili suara golongan ulama.

Hari ini Mohamad umpama mendapat “vitamin tambahan” apabila akhbar milik Umno Utusan Malaysia memberikan sokongan terbuka kepada Mohd Amar bagi jawatan timbalan presiden PAS itu.

“Orang PAS ni siapa yang Utusan sokong mereka tolak,” kata seorang aktivis parti Islam itu apabila dihubungi The Malaysian Insider.

“Utusan Malaysia ni akhbar Umno, bila dia sokong, mesti ada agenda jahat,” katanya.

Dalam pemilihan PAS pada 2011, Utusan Malaysia memberikan sokongan kuat kepada Nasharudin Mat Isa dan bekas Timbalan Presiden PAS itu mendapat 224 undi, undi tercorot berbanding Mohamad (420 undi) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399).

Dalam rencana yang ditulis pengarang Utusan Malaysia Zulkiflee Bakar bertajuk “Memperkasa ulama dalam PAS”, beliau mengatakan kemenangan Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu penting demi memastikan pengaruh ulama dikembalikan semula dalam PAS.

"Mereka (PAS) mempunyai misi penting untuk dilunaskan iaitu pertama, mengembalikan kekuatan ulama dalam heirarki kepimpinan utama PAS dan kedua, mendesak supaya PAS tidak menjadi ‘lebai malang’ melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang.

"Bagi misi pertama, sudah pastilah tumpuan akan diberikan kepada perebutan jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Mohamad Sabu," kata beliau dalam tulisannya di Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.

Zukiflee turut mendakwa Mohamad yang dianggap sebagai “ayam sabung PAS” itu sudah menurun populariti dan kehadiran orang ramai dalam ceramah-ceramahnya semakin berkurangan.

“Jumlah kehadiran orang ramai pada ceramah beliau semakin menurun dan ada dalam kalangan pemimpin PAS sendiri berasa Mat Sabu sudah tidak relevan lagi untuk berada dalam barisan kepimpinan kanan PAS pusat apatah lagi timbalan presiden,” katanya.

Mohamad dan Mohd Amar bakal bertembung satu lawan satu dalam pemilihan PAS kali ini apabila calon-calon lain yang layak Tuan Ibrahim, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub menarik diri dan hanya bertanding merebut jawatan naib presiden.

Kemenangan bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden PAS pada 22 November ini akan menentukan masa depan parti Islam itu terutamanya sama ada terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR) atau keluar daripada gabungan itu.

Mohamad dilihat sebagai mewakili kumpulan yang mahukan PAS terus bersama PR manakala Mohd Amar pula dilihat sebaliknya.

Dalam ucaptama di Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut pada September, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) parti Islam itu terutamanya dengan PKR.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Pandangan Harun itu dilihat sebagai pandangan golongan ulama yang berada di belakang Mohd Amar.

Di atas kertas, Mohamad mempunyai kelebihan dan lebih dikenali oleh 1,300 perwakilan PAS kerana sudah lama berperanan sebagai pemimpin nasional dan senangi oleh rakan-rakan PR berbanding Mohd Amar yang hanya aktif dalam arena politik Kelantan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merupakan “penyokong kuat” Mohamad daripada PR walaupun tidak boleh mengundi dalam pemilihan PAS kali ini.

“Mat Sabu memainkan peranan positif dalam Pakatan Rakyat. Beliau dilihat sebagai seorang negarawan,” kata Lim kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Menurut Lim, beliau mula mengenali Mohamad secara rapat apabila kedua-duanya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting pada tahun 1987, semasa Operasi Lalang dilancarkan.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PAS Pusat bagi sesi 2013-2015, Asmuni Awi mengumumkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama Harun mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding.
– TMI 10 November, 2013.


ULASAN GB

GB tangguhkan seketika untuk membuat sebarang komen dan ulasan. Tunggu posting selepas ini. Stay tuned!

Tiada ulasan: