Khamis, 21 November 2013

Hanya 5 didakwa jenayah rasuah, SPRM takut siasat ahli politik

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR: Kemampuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa hanya lima ahli politik yang terlibat jenayah rasuah dalam tempoh empat tahun bukti agensi itu takut untuk menyiasat kegiatan rasuah di kalangan ahli politik, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. 

Statistik itu diperolehi Rafizi dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan semalam bahawa sembilan orang ahli politik ditangkap dan lima orang telah didakwa di mahkamah.

Kata Rafizi, keengganan SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan jumlah siasatan yang dibuka terhadap ahli politik dan jumlah kertas siasatan yang dihantar kepada Peguam Negara menunjukkan SPRM tidak serius memerangi rasuah di kalangan ahli politik.

“Soalan yang saya ajukan cuba mengesahkan bahawa SPRM ada melakukan siasatan terhadap ahli-ahli politik tetapi kertas pendakwaan ditolak oleh Peguam Negara.

“Oleh itu, statistik berapa siasatan yang ditolak oleh Peguam Negara adalah penting untuk mengesahkan dakwaan SPRM selama ini bahawa Peguam Negaralah yang bertanggungjawab melindungi SPRM,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ekoran itu, beliau  merumuskan bahawa SPRM turut sama melindungi ahli politik yang rasuah seperti mana Peguam Negara.

“Lebih merunsingkan adalah bilangan ahli politik yang disiasat dan didakwa kerana dalam tempoh hampir empat tahun, hanya lima orang didakwa iaitu bersamaan seorang ahli politik setahun. Sedangkan masyarakat berpendapat ahli politik adalah golongan yang paling kuat mengambil rasuah di samping pegawai penguatkuasa undang-undang,” kata Rafizi lagi.

Beliau juga yakin lebih ramai pegawai penguatkuasa undang-undang yang didakwa di mahkamah dalam tempoh yang sama berbanding ahli politik.

Tiada ulasan: