Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menuntut penjelasan berhubung tindakan kerajaan memeterai perjanjian jangka panjang membeli gula mentah daripada negara lain pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran sedangkan permit gula dimonopoli dua syarikat swasta.

Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Rafizi berkata syarikat gula yang dikuasai taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Felda perlu menanggung risiko apabila harga pasaran gula mentah meningkat kerana mereka juga akan mengaut keuntungan apabila harga gula mentah pasaran dunia menjadi lebih rendah.

NONE"Oleh kerana kerajaan Malaysia terus mahu menanggung kerugian hasil daripada kontrak pembelian gula mentah jangka panjang ini, maka monopoli gula yang diberikan kepada syarikat dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary perlulah ditarik balik kerana syarikat itu tidak menanggung risiko untung rugi pembelian gula mentah," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar permit import (AP) gula mentah dan bertapis dibuka untuk mewujudkan persaingan harga dan seterusnya menurunkan harga gula pasaran.

"Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli," katanya.

Kerajaan sewaktu membentangkan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober lalu mengumumkan pemotongan subsidi gula berkuat kuasa serta merta pada hari yang sama.

Ia menyebabkan harga gula naik sebanyak 34 sen bagi setiap sekilogram.