Selasa, 12 November 2013

Gambar anjing: Zulhazmi tak jadi membuat laporan

 
Pejabat Agung PAS Pusat sedang menyiasat dalang di sebalik akaun Facebook, 'Fikrah Islamiah Pilihan Kami'.





PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda PAS  Zulhazmi Shariff tidak membuat laporan terhadap seorang pengguna Facebook, ‘Fikrah Islamiah Pilihan Kami yang menggambarkannya sebagai anjing.

“Saya tidak jadi membuat laporan kerana saya menerima panggilan telefon dari pejabat agung PAS yang memaklumkan saya bahawa mereka sedang menyiasat untuk mengenalpasti dalang di sebalik perbuatan ini,” kata Zulhazmi ketika dihubungi.

“Jawatankuasa pemilihan akan menyerahkan kes ini kepada jawatankuasa tatatertib untuk diambil tindakan sekiranya individu tersebut seorang ahli PAS,” tambahnya.

Dia sendiri tidak menyiasat mengenai pemegang akaun tersebut.

“PAS Pusat mempunyai pakar IT sendiri untuk menyiasat perkara ini,” kata Zulhazmi.

Zulhazmi merupakan salah seorang daripada tiga calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS.

Selain Zulhazmi, ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiyat dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Kamaruzzaman Mohamad turut bertanding jawatan ketua Pemuda.

Pemilihan Ketua Pemuda PAS Pusat akan berlangsung sempena dengan muktamar PAS ke 59 dari 22 hingga 24 haribulan ini di Selangor.

Semalam media melaporkan bahawa pengguna akaun Facebook ‘Fikrah Islamiah Pilihan Kami’ memuatnaikkan gambar calon-calon Ketua Pemuda PAS. Zulhazmi, bagaimanapun digambarkan sebagai seekor anjing.

Di bawah gambar tersebut, tertulis ayat berikut:  “Jika anjing-anjing liberal ini berjaya menguasai parti, maka lihatlah sendiri akan lebih ramai lagi para pejuang Islam akan menerima nasib yang sama seperti Ustaz Nasharudin Md Isa dan Dr Hassan Ali.

“Mereka akan terus menerus menjadi kuda kepada PKR dan DAP…maka ketika itu percayalah penyatuan umat Islam Melayu hanya akan tinggal impian.”

Kenyataan ini menyerupai kenyataan pemimpin PAS yang menyokong ide kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Tiada ulasan: