Jumaat, 29 November 2013

Gaji MB Selangor lebih rendah dari Sarawak - Abdul Khalid

Harakahdaily 


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan langkah kerajaan negeri menaikkan gaji Menteri Besar, anggota Exco, speaker dan timbalan speaker yang dianggap masih rendah dan munasabah.

Beliau berkata kenaikan gaji antara 80 hingga hampir 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima Adun serta anggota pentadbiran negeri Sarawak, lapor Bernama.
   
"Kita naikkan gaji di Selangor kerana tidak mahu wakil rakyat kita buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan mereka.
   
"Saya berpendapat kenaikan ini munasabah sebab kita hendak (beri) servis kepada rakyat. Malah, kalau di sektor swasta, gaji seperti ini tidak tinggi. Kita juga tidak boleh sorok pendapatan sebab kita setuju setiap harta dan pendapatan mesti diumumkan, biar rakyat tahu," katanya kepada pemberita di lobi Dun Selangor di sini, hari ini.

Abdul Khalid turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa gaji baru beliau lebih tinggi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
"Gaji di Selangor dikira berdasarkan formula 75 peratus daripada kenaikan yang diterima di Sarawak.
   
"Sebagai contoh kalau gaji ketua menteri Sarawak RM39,000, gaji menteri besar di Selangor ialah RM29,000.
   
"Selain itu, sejak lima tahun lepas kita dapat kutip hutang yang sebelum ini gagal dikutip kira-kira RM500 juta. Dengan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang ini, kita sudah dapat bayar gaji ini," katanya.

Sementara itu beberapa anggota pembangkang Dewan Negeri (Adun) Selangor hari ini berbeza pendapat dengan ketua pembangkang, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung isu kenaikan gaji itu.

Shamsuddin seperti dilapor Selangorkini menganggap kenaikan saraan untuk anggota pentadbiran kerajaan negeri, Speaker dan Timbalan Speaker juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu adalah berpatutan serta wajar  namun beberapa Adun BN menganggapnya tidak wajar dan terlampau tinggi.

Adun Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus berkata berdasarkan kenaikan gaji dan elaun bagi tiga jawatan itu, timbalan speaker DUN mencatatkan peratusan kenaikan tertinggi iaitu 373 peratus bersamaan RM15,750 sebulan daripada RM3,327.
   
"Begitu juga dengan gaji menteri besar yang naik 106 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan diikuti gaji Speaker DUN yang turut naik mendadak pada kadar 268.3 peratus iaitu kira-kira RM22,500 daripada RM6,109 sebulan.
   
"Bagi saya, kenaikan (bagi ketiga-tiga jawatan ini) tidak mengambil kira denyut nadi rakyat di peringkat bawahan yang masih memerlukan lebih pembelaan daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di luar sidang dewan di sini.

Adun Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata peratusan kenaikan gaji itu sepatutnya diselaraskan dan bukan hanya untuk menteri besar, speaker dan timbalan speaker, lapor Bernama.
   
"Melihat gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker, kadar kenaikannya jauh lebih tinggi. Sepatutnya, kalau semua naik, maka peratusannya perlu selaras serta munasabah bagi semua jawatan," katanya.

Namun, Johan bersetuju dengan kenaikan gaji termasuk elaun bagi Adun di negeri ini yang mendapat pertambahan 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 sebulan kerana sebahagiannya mungkin dipulangkan semula kepada rakyat atas peranan serta tanggungjawab seorang wakil rakyat.

Tiada ulasan: