Sabah diceroboh 
 
 Sabah diceroboh


LAHAD DATU - Ketua masyarakat di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diminta segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui tentang kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) atau orang yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek berkata, mereka boleh menyalurkan maklumat itu ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Esscom yang beroperasi 24 jam di talian 089-863181 atau faks 089-863182.
 
"Kerjasama ketua-ketua kampung atau pemimpin masyarakat amat penting supaya pihak keselamatan dapat mengambil tindakan wajar khususnya di perkampungan
pesisir pantai dan pulau-pulau di kawasan Esszone.
 
"Kita tidak mahu leka dalam hal ini. Oleh itu kita mahu mereka menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan apa sahaja maklumat khususnya yang berkaitan dengan kehadiran Pati atau kemasukan orang tertentu yang mencurigakan di kawasan mereka," katanya.
 
Mohammad berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat dan  ketua kampung di Pejabat Urusetia Daerah Kecil Tungku, di sini, hari ini.
 
Tambah beliau, dalam pertemuan itu, pihak Esscom menerima banyak maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan ketua kampung antaranya meminta pembinaan
balai polis di kawasan tersebut.
 
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan untuk membina balai polis di situ," katanya. - BERNAMA