Jumaat, 15 November 2013

Dari mana RM40 juta untuk dana Utusan?

Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR 15 NOV: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mempersoalkan dari punca manakah RM40 juta dana tambahan yang disuntik ke dalam Utusan Melayu (M) Bhd bagi membantu lidah rasmi Umno tersebut.

“Dari mana Umno boleh dapatkan wang sebanyak itu, apakah Umno ini sebuah syarikat besar yang mampu menjana berjuta-juta ringgit setahun?

Johari Abdul“Perniagaan apa yang Umno buat? kata Johari kepada Keadilandaily.

Bursa Malaysia dilaporkan pada 13 November lalu menyatakan Umno akan menyuntik RM40 juta dalam Utusan Melayu (M) Bhd, syarikat yang menerbitkan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia, melalui cadangan ‘two-call rights issue (TCRI)’.

Tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan Melayu daripada 49.8% kepada 53.1%.

Dengan jaminan membeli saham terbitan hak itu, kuasa mengundi Umno meningkat kepada kira-kira 67.2% peningkatan lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan.

Menurut Johari, dana suntikan itu perlu didedahkan kerana mewujudkan kesangsian bahawa wang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan digunakan bagi tujuan itu,

boikot_utusan_badge

Tegasnya sekiranya wang dijana dari GLC umno bagi menyelamatkan akhbar milik mereka, ia sama sekali tidak beretika.

“Saya risau wang GLC yang dimiliki oleh negara akan digunakan bagi tujuan tersebut, Umno tidak boleh sama sekali guna wang dari syarikat milik negara,” ujar Johari.

“Kita perlu ingat bahawa syarikat GLC adalah milik negara, bukan milik parti politik yang jadi pemerintah negara” katanya.

Utusan Malaysia dilaporkan dibebani hutang sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 malah pada 2012 akhbar tersebut terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15. 8 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini dikatakan menyerahkan surat arahan rasmi secara bertulis kepada semua pengarah agensi dan syarikat GLC untuk membeli ruang iklan dalam Utusan bagi membantu akhbar tersebut terus bertahan.

Tiada ulasan: