Sabtu, 16 November 2013

DAP kekalkan keputusan pecat 38 ahli

Tan Kok Wai2


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini mengumumkan pemecatan 38 ahli yang melanggar disiplin parti.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai berkata keputusan itu dibuat selepas tindakan mereka iaitu 12 orang yang bertanding sebagai calon bebas dan 26 yang lain melakukan kesalahan yang bercanggah dengan pendirian parti.

Pada 29 September lalu, DAP mengadakan pemilihan semula CEC mengikut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan oleh kerana ia tidak ‘diiktiraf’, maka ahli yang dipecat dibenarkan hadir dan mengundi.

“Apabila CEC yang sama dipilih semula. Semua 38 kes dikaji semula sekali lagi dan Jawatankuasa Disiplin (DC) memberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil ke atas mereka,” katanya dalam kenyataan.

Kok Wai yang juga Ahli Parlimen DAP Cheras menegaskan, DC memilih untuk mengekalkan keputusan memecat 38 ahli berkenaan.

“Selepas menerima surat tunjuk sebab dan mengkaji, DC mengekalkan keputusan untuk memecat mereka.

“Saya ingin menegaskan bahawa DC mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan imej dan reputasi parti serta tidak mengecewakan keyakinan orang ramai terhadap parti,” ujarnya.

Antara 38 ahli yang dipecat ialah Alexander Anthony Wong, Jenice Lee Ying Ha, David Dass, Mohd Sani Abdullah, Rodiah Biden dan Lee Yun Li. -Roketkini.com

Tiada ulasan: