Jumaat, 29 November 2013

Boleh naik gaji tapi biar munasabah - Muslimat PAS

SAIDAH HAIRAN 


SHAH ALAM: Kenaikan gaji Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terlalu tinggi dan tidak relevan di saat rakyat sedang menghadapi pelbagai tekanan hidup akibat kenaikan harga barang.

Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan menegaskan, kerajaan Selangor sepatutnya memikirkan keperluan rakyat terlebih dahulu kerana masih ramai rakyat hidup di bawah paras kemiskinan.

"Kenaikan gaji itu boleh dilakukan tetapi tidak wajar dinaikkan sehingga ke tahap yang tidak munasabah," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, kenaikan gaji Timbalan Speaker sebanyak 300 peratus iaitu daripada RM3,327.50 kepada RM15,570 sedangkan jawatan itu tidak berkhidmat secara langsung terhadap rakyat. 

Katanya, lebih elok jika duit kenaikan itu disalurkan kepada pembangunan ekonomi membantu ibu-ibu tunggal dan rakyat miskin serta boleh menurunkan indeks kemiskinan rakyat Selangor.

Beliau berkata, berbanding jawatan Ketua Kampung yang melakukan kerja hampir sepenuh masa menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya diberi elaun sebanyak RM800.

"Elaun Ketua kampung amat tidak sesuai dengan keadaan sekarang dengan pelaksanaan GST. Sepatutnya mereka ini yang diberi keutamaan kenaikan gaji," tegasnya.

Tambah beliau, kenaikan gaji Exco pula meningkat 231 peratus iaitu daripada  RM6,109.29 bakal meningkat kepada RM20,250 dan mereka juga mendapat elaun tambahan.

"Sepatutnya Menteri Besar membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengumumkan kenaikan gaji," tegasnya.

Beliau berharap dengan kenaikan gaji bermula tahun hadapan, semua Exco dan Adun perlu melipat gandakan kerja berkhidmat untuk rakyat bukan melakukan kerja dengan tahap yang sama.

"Saya harap motivasi kerja lebih kuat. Semua Adun dan Exco juga perlu ingat mereka menang dan berada di atas disebabkan pengorbanan dan sokongan daripada ahli atau aktivits parti, bukan atas kehebatan masing-masing," katanya.

Gaji Menteri Besar berjumlah RM14,175.15 bakal meningkat kepada RM29,250 iaitu pada kadar 106.4 peratus, Speaker Dewan (RM6,109.29 meningkat 268 peratus kepada RM22,500).

Melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan itu, saraan bagi setiap Adun mengikut Seksyen 3 juga dipinda, daripada RM6,000 kepada RM11,250 atau kenaikan 87.5 peratus.

Tiada ulasan: