Sabtu, 16 November 2013

Beli bata, bantu bersama bina teratak Malaysiakini

 
MALAYSIA KINI


 
 
Selepas 14 tahun beroperasi, Malaysiakini akhirnya akan memiliki bangunannya sendiri.

Bulan lepas, syarikat ini membeli sebuah bangunan industri yang akan menjadi pejabat barunya mulai tahun depan.

NONEBangunan tersebut yang terletak di Business Park PJ51, Seksyen 51, Petaling Jaya, akan membolehkan portal berita bebas yang pertama dan tunggal di Malaysia ini, maju setapak lagi dalam menyajikan maklumat kepada rakyat Malaysia.

"Untuk terus berkembang, Malaysiakini memerlukan asas yang lebih teguh.

"Ibarat sepohon pokok, bangunan baru ini akan membantu Malaysiakini bertapak lebih dalam supaya ia lebih stabil dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi sumbangannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Bangunan tersebut - yang akan dikenali sebagai @Kini - akan menyediakan ruang untuk Malaysiakini berkembang dalam tahun-tahun seterusnya - dengan ruang kerja, kawasan mesyuarat, bilik latihan dan studio video yang mencukupi.

"Ia akan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pasukan Malaysiakini yang telah bekerja kuat selama ini - dan mereka inilah wira sebenar yang membantu menerbitkan berita-berita penting," kata Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan.

Dengan ada bangunan tersebut, kata Steven, Malaysiakini tidak perlu lagi khuatir akan risiko diusir pemilik bangunan yang disewanya yang kadangkala mudah takut dengan gangguan pihak berkuasa.

malaysiakini burger king operation 271004 the crewPada tahun 2004, Malaysiakini pernah menerima notis pengusiran daripada pemilik bangunan pejabat di Bangsar Utama selepas portal berita ini diserbu polis.

Malaysiakini akhirnya berpindah ke bangunan sekarang yang juga
terletak di Bangsar Utama.

Ekoran perpindahan tergesa-gesa itu, maka wartawan dan editor pada masa itu terpaksa bekerja dari sebuah restoran makanan segera di sebuah pusat membeli-belah selama seminggu.

Malaysiakini bercadang untuk membuka sebahagian besar daripada @Kini kepada orang ramai.

"Kami menjangka ruang itu akan menjadi tempat mengadakan forum, dialog serta tayangan filem bagi untuk menggalakkan penglibatan orang ramai dalam isu-isu hangat.

"Dengan berbuat demikian, kami percaya kita semua dapat membina sesuatu yang hebat - bersama-sama," kata Premesh.

NONEBangunan tersebut (kanan) juga akan mempunyai pusat siaran web secara langsung yang pertama di negara ini, di mana forum awam dan perbincangan boleh diadakan dengan penyertaan penonton, di tempat tersebut dan melalui Internet.

KiniTV, sayap TV Internet Malaysiakini, akan membina studio pelbagai guna yang memakai sistem penyiaran yang sama dengan rancangan American Idol.
Ia akan melaksanakan konsep studio terbuka dengan mengalu-alukan kumpulan masyarakat sivil dan pertubuhan orang ramai untuk menyiarkan program-program mereka, serta menyediakan latihan media baru.

Sokongan anda diperlukan


@Kini dibeli pada harga RM6.1 juta. Jumlah keseluruhannya apabila mengambil kira kos ubahsuai serta yuran dan duti peguam, mencecah sekitar RM7 juta.

Untuk ini, Malaysiakini merancang membayar pendahuluan sebanyak RM1 juta secara tunai dan mendapatkan pinjaman bank sebanyak RM3 juta.

Untuk meringankan beban, Malaysiakini memohon sokongan pembaca untuk mengumpulkan RM3 juta dalam masa dua bulan akan datang menerusi kempen "Buy a brick" (beli bata).

Setiap penyokong yang menyumbangkan RM1,000 akan mendapat langganan dan iklan di Malaysiakini bernilai RM1,000, serta seketul bata yang diukir dengan namanya.

Bata ini akan diguna untuk membina tembok penghargaan yang akan menjadi satu identiti tetap bangunan baru Malaysiakini itu.

NONE"Beli bata dan bantu bina sebuah bangunan buat media bebas," kata Steven merayu sokongan daripada para pembaca Malaysiakini.

Malaysiakini mensasarkan untuk memperolehi 1,000 orang untuk membeli bata bernilai RM1,000 ini.

Malaysiakini juga mengalu-alukan tajaan korporat sama ada sebanyak RM25,000 atau RM50,000.

Penaja akan diberikan pengiktirafan yang jelas dalam bangunan tersebut serta ruang pengiklanan yang setara nilainya di Malaysiakini sebagai tanda terima kasih.

"Ia cara yang hebat untuk individu dan warga korporat untuk menzahirkan sokongan mereka buat media bebas," kata Premesh.

Kempen "Buy a brick" ini bermula hari ini dengan nilai terkumpul sebanyak RM42,000 yang telah diraih daripada kakitangan Malaysiakini dan rakan-rakan mereka.

Untuk maklumat lanjut tentang bangunan dan cara untuk menyokong Malaysiakini, sila kunjungi building.malaysiakini.com

Tiada ulasan: