Isnin, 25 November 2013

Bekas pengerusi SPR sertai PERKASA, bantu Melayu terus berkuasa

 
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan harapan membantu orang Melayu untuk terus berkuasa.
 
Abdul Rashid berkata, beliau menyertai PERKASA enam bulan lalu untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan memastikan ia terus relevan selepas pilihan raya umum akan datang.
 
“Dengan pengalaman dan pengetahuan saya bersama SPR, saya akan membantu PERKASA mencapai matlamat itu,” katanya kepada Malaysian Insider yang ditemui semasa Mesyuarat Agung PERKASA Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.
 
Abdul Rashid, 69, berkata beliau sudah berulang kali dijemput menyertai pertubuhan itu oleh presidennya, Datuk Ibrahim Ali.
 
“Ketika saya memutuskan untuk turut serta, saya memberitahu Ibrahim tidak mengapa sekiranya saya menjadi ahli biasa namun beliau meminta saya untuk menjadi ahli majlis kerana menurutnya lebih mudah bagi saya melontarkan pandangan bagi menambah baik organisasi,” katanya.
 
Abdul Rashid dalam ucapannya berkata, orang Melayu perlu kekal mendapat kuasa politik kerana negara ini kepunyaan mereka.
 
“Tanah ini dipanggil Persekutuan Tanah Melayu. Semasa mendapatkan kemerdekaan ia telah ditukar kepada Malaya dan selepas beberapa negeri menyertainya, ia ditukar kepada Malaysia Barat.
 
Beliau berkata, selaku bekas pengerusi SPR, beliau tahu cara mengekalkan kuasa orang Melayu.
 
Katanya, tiga proses persempadanan semula yang berlaku semasa beliau berada dalam SPR telah mengekalkan kuasa orang Melayu.
 
“Kami lakukan secara sah dan teliti. Mereka yang kalah semasa pilihan raya umum lalu mendakwa kami melakukan kesalahan. Jika betul, mengapa Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?” tanya Abdul Rashid.
 
Beliau berkata terdapat orang Melayu sekarang yang mengkritik bangsanya sendiri kerana melindungi kepentingan orang Melayu.
 
“Ini yang kita panggil Melayu haprak. Mereka bukan Melayu sebenar tidak seperti (ahli PERKASA). Kita bukan jenis yang menghina kaum sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: