Isnin, 25 November 2013

Bab Ini ISMA Betul. Boros Juga Khianat

KELAB GREENBOC
Bagi perdana menteri, tidak membayar cukai dianggap pengkhianatan kepada negara.

Bagi NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pula, boros harta awam juga satu pengkhianatan.

Begitu Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman mengingatkan Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya hari ini.

Ini kerana, kata Abdullah Zaik, pemerintah diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal umum berdasarkan syariat.

Malah, hujahnya, hasil cukai serta pendapatan negara adalah harta awam yang harus diuruskan secara berhemah.

"Jangan mengkhianati kepercayaan rakyat yang telah mengundi BN atau Umno sebelum ini.

"Gunalah kebijaksanaan supaya dapat menguruskan harta negara dengan baik.

"Ingatlah bahawa kebijaksanaan bukan semata mata soal teknikal pengurusan tetapi juga melibatkan budi pekerti dan hati perut," katanya. Najib semalam dilaporkan berkata, pihak yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara kerana kewajipan itu merupakan satu daripada semangat patriotisme.

Beliau juga berkata, tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara. -mk



Mengelak bayar cukai perbuatan khianat, kata Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara.

Ini kerana, katanya kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara.

"Definisi patriotisme dalam negara kita ialah apabila kita melunaskan tanggungjawab kepada negara untuk kebaikan negara dan rakyat.

"Bila bayar cukai kita tolong rakyat, kita tanamkan semangat ini, dengan ini negara kita akan lebih berjaya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang juga Pengerusi Sekretariat Pena.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.

"Kebaikannya ialah kita akan mempunyai sumber kewangan dan hasil yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negara dan rakyat akan lebih bahagia kerana berdasarkan sumberlah, negara akan menjadi maju," katanya.

Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara terutamanya dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.

"Kalau kita lihat perjalanan negara kita, cuba kita bayangkan dalam sejenak bagaimana hala tuju perkembangan negara kita, dalam keadaan sebuah negara di mana kampung-kampung tradisional, bandar-bandar kecil bertukar wajah.

"Kita nak jalan raya baharu, sekolah dan universiti yang baharu dan ini memerlukan peruntukan yang lebih, jadi kita tidak boleh tidak ada hasil, kalau tidak siapa hendak bayar semua ini.

"Pilihannya adalah dengan membuat pinjaman, tetapi kalau asyik pinjam apa akan jadi, tidak terbayar kita, rating negara kita akan menurun, kita akan muflis, semua rakyat susah, kita tidak boleh uruskan negara macam ini," katanya.

Najib turut membidas pembangkang yang menjanjikan pelbagai perkara termasuklah ada ketikanya menentang pelaksanaan GST tetapi kemudian menyokongnya kembali dengan syarat ia dilaksanakan setelah kerajaan menutup semua ketirisan.

"Kita tadbir negara mestilah ada `sense of responsibility', kita akui mungkin ada ketirisan tetapi kita mempunyai iltizam untuk memperbetulkan sebab itu kita bentangkan secara umum Laporan Audit, mana ada negara yang sempurna," katanya.

Mengenai agenda pemerkasaan Bumiputera, beliau berkata ia menjadi agenda nasional bagi memastikan kelompok Bumiputera dapat berkongsi kekayaan negara secara adil dan saksama.

Seminar sehari yang dianjurkan Sekretariat Pena itu bertujuan memberi kefahaman dan penerangan mengenai GST, intipati Bajet 2014 dan agenda pemerkasaan Bumiputera.
- Bernama

ULASAN GB

Jika Pakatan Rakyat yang sebut bahawa Najib dan kerajaan UMNO BN adalah boros, lansung tidak diindahkan. Sekarang NGO yang mesra dengan UMNO BN sendiri yang sebut - bahawa pemborosan yang dilakukan oleh kerajaan Najib itu adalah stau pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

Rakyat dipaksa untuk membayar cukai, kemudian kamu-kamu yang diamanahkan untuk menguruskan wang rakyat bertindak untuk berbelanja dengan boros. Apa ke jadahnya?

Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Najib dan kerajaaan UMNO BN akan tetap menerima hukuman.

Tiada ulasan: