Azam: Majoriti turun bukan sebab pilih BN  
 
Mohd Azam (tiga, kiri) menggaul kari daging yang dimasak secara gotong royong hari ini. - Foto Sinar Harian

YAN - Penurunan majoriti undi Pas pada PRK Dun Sungai Limau bukan kerana pengundi beralih kepada BN tetapi kekangan tertentu termasuk mereka tidak dapat keluar mengundi.

Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat berkata, ia disebabkan hari mengundi diadakan pada hari bekerja.

“Saya masih belum membuat analisis mengenai penjumlahan undi, cumanya saya difahamkan undi BN hanya meningkat sebanyak 450.

“Ramai pengundi Pas yang tinggal di luar kawasan tidak sempat balik dan ada yang duduk dalam Dun Sungai Limau, tetapi bekerja di luar tidak dapat menunaikan tanggungjawab kerana bekerja,” katanya.

Beliau menyifatkan kekurangan undi Pas kerana ramai ahli tidak balik mengundi semalam.

“Saya percaya ramai yang tidak balik mengundi sebab maklumat dari bilik gerakan kita pun sedemikian. Ramai pengundi tidak sempat untuk balik mengundi,” katanya.

Pada masa sama, beliau bersyukur dan menyatakan penghargaan kepada semua saf pimpinan yang memberi kepercayaan, jentera parti yang bertungkus lumus berkempen dan rakyat yang mengundinya.

Selepas diumumkan sebagai Adun Sungai Limau yang baru pada malam semalam, Mohd Azam menemui ibunya, Mariani Hamid dekat Bukit Besar semalam untuk mengucapkan terima kasih kerana mendoakan kejayaannya.

“Ibu ada menasihatkan saya supaya melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik. Sebelum ini kita hanya terlibat dengan pelajar, tetapi hari ini bersama masyarakat.

“Jadi, ibu menasihati supaya amanah itu dijaga dan jangan abaikan kebajikan penduduk di Dun Sungai Limau,” katanya.

Keputusan PRK Dun Sungai Limau kelmarin memperlihatkan Pas menang dengan majoriti 1,084 undi berbanding pada PRU13 lalu mendapat majoriti 2,774 undi.

Mohd Azam telah menang dengan 12,069 undi menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang mendapat 10,985 undi. - Bernama