Isnin, 18 November 2013

Anwar, Kit Siang Enggan Ditemui Pemberita

alt
 
 Alif Mustapha
 
 
KUALA LUMPUR  - Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang enggan bertemu dengan pemberita gara-gara isu hukum hudud di negeri Kelantan menjadi topik utama pengamal media.
 
"Saya ulas kemudian, tumpu debat dulu," ujar Anwar Ibrahim di lobi parlimen pagi tadi.
 
Sementara itu, pemberita juga gagal untuk mendapatkan reaksi Kit Siang apabila pemimpin utama DAP itu dilihat bergegas meluru keluar daripada pintu Dewan Rakyat.
 
Dalam pada itu bagi Ahli Parlimen Ketereh (BN), Tan Sri Annuar Musa berpendapat isu hukum hudud ini merujuk dalam konteks perlaksanaan.
 
Sehubungan itu kesiapsagaan di peringkat negeri telah dibuktikan menerusi sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) peringkat negeri Kelantan.
 
Namun yang demikian parti pemerintah negeri iaitu PAS perlu bersedia dengan mengajak rakan sekutu mereka iaitu PKR mahupun DAP supaya turut bersetuju dengan apa yang diputuskan diperingkat negeri.
 
"Saya fikir perkara ini sudah terlalu lama dan hampir 20 tahun digembar gemburkan."
 
"Ini merupakan hukum yang berlandaskan kepada prinsip Islam, yang menjadi isu ialah bagaimana mahu melaksanakannya,"
 
"Pertama, pihak yang melaksanakan dalam konteks ini ialah kerajaan negeri Kelantan maka segala urusan berkaitan tanggungjawab yang perlu diambil oleh pihak yang hendak melaksanakan di peringkat negeri perlu diselesaikan,"
 
"Kedua, ada pihak berpendapat ia merupakan undang-undang berkaitan jenayah maka ia melibatkan perlembagaan dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Maka dalam proses hendak melaksanakan kerajaan negeri harus melihat bagaimana perkara ini dapat dilaksanakan dengan kelulusan di peringkat parlimen kerana mungkin ada pindaan-pindaan tertentu.
 
"Maka ditahap itu pihak kerajaan negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS dan parti gabungan bersama mereka iaitu PKR perlu diselesaikan.
 
"PKR perlu memberi signal yang jelas. Seterusnya mendapat pertimbangan BN (kerajaan pusat) berdasarkan kepada kesiapsiagaan itu," tegas beliau.

Tiada ulasan: