Rabu, 20 November 2013

Amalan belanja berhemah kekalkan belanja tidak defisit

Oleh : NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM - Kelebihan amalan belanja berhemah membolehkan kerajaan negeri tidak membentangkan belanjawan defisit dan tidak meminjam daripada kerajaan pusat untuk menampung perbelanjaan, sejak lima tahun mentadbir Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pengurusan kewangan dan fiskal itu boleh dijadikan teladan kepada negeri lain dan kerajaan pusat.

pc khalid dun

Katanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan amalan menyemak belanjawan setiap enam bulan secara berkala apabila Perbendaharaan Negeri digesa membuat imbangan pada penyata kewangan setiap bulan.

“Dengan cara itu, kita dapat memantau keseimbangan di antara perbelanjaan negeri supaya tidak berbelanja di luar kemampuan sehingga menyebabkan defisit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, secara asasnya pendapatan negeri diperoleh daripada Hasil Kutipan Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

“Perbelanjaan pula terbahagi kepada dua kompenan utama iaitu Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan, manakala rizab simpanan sama ada dalam bentuk tunai atau aset pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014 mengetengahkan konsep percukaian yang lebih progresif, lebih mudah dan bertanggungjawab serta mempunyai pelbagai mekanisme yang menjamin disiplin fiskal.

Katanya, belanjawan Barisan Nasional (BN) pula terlalu fokus kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mempelbagaikan pendapatan negara tetapi tidak menerokai kaedah penjanaan pendapatan lain.

“Semua cadangan PR itu mampu membuatkan Malaysia mencapai belanjawan berimbang menjelang 2007 atau selewat-lewatnya 2018. Belanjawan BN tidak cuba menangani masalah kos apabila hanya subsidi dan perbelanjaan pembangunan yang menjadi mangsa pengurangan, namun kompenan lain dalam perbelanjaan mengurus diunjurkan melonjak,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: