Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) menolak cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melengkapkan pegawai penguatkuasa dengan senjata api, menegaskan ia bukan langkah terbaik untuk menangani jenayah dan menjaga keselamatan.
Ahli Parlimen pembangkang menegaskan kadar jenayah yang semakin meningkat berpunca daripada ketidakberkesanan serta kegagalan polisi dan langkah membekalkan senjata api akan memburukkan lagi keadaan.
"Selepas ini kita mungkin ada kes pegawai LHDN pula ditembak kerana mengutip cukai. Adakah senjata api juga akan dibekalkan?" kata beliau merujuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri .
Rafizi menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN), menerusi polis adalah agensi yang perlu dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan awam terjamin.
"Langkah tersebut akan menyebabkan kekeliruan. Mungkin selepas ini terdapat pula pertikaian mengenai perundangan pula," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi portfolio hal ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru mencadangkan pegawai penguatkuasa agama dilengkapkan dengan senjata api susulan kes pembunuhan di Kuantan, Ahad lalu.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada PAS, cadangan melengkapkan pegawai agama dengan senjata api memerlukan latihan yang mencukupi.
"Masalah akan timbul apabila terlalu ramai diberikan akses kepada senjata api. Saya meragui sama ada pegawai tersebut memiliki pengalaman dan kematangan untuk mengendalikannya.
"Ia lebih baik jika bekerja dengan polis memandangkan agensi tersebut terlatih dalam penggunaan senjata," katanya.
Beliau berkata terdapat banyak aduan terhadap tingkah laku pegawai agama yang bertindak keterlaluan dan membekalkan mereka dengan senjata mungkin memburukkan lagi masalah.
"Bagaimana anda tentukan pegawai atau agensi mana yang berdepan risiko? Jika ingin bekalkan semua dengan senjata api, anda mungkin juga perlu bekalkan seluruh jentera kerajaan," katanya.
Beliau sebaliknya berkata piawaian prosedur operasi semasa aktiviti penguatkuasaan yang melibatkan kehadiran polis perlu diteruskan.
Beliau berkata pendekatan yang holistik diperlukan bagi menangani jenayah bukan hanya melengkapkan pegawai penguatkuasa dengan senjata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan