Sabtu, 9 November 2013

190 restoran, kedai makan diarah tutup kerana kotor, kata DBKL

THE MALAYSIAN INSIDER

Kira-kira 190 restoran dan kedai makan di sekitar ibu negara telah diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah didapati kotor.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal (gambar) berkata jika Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL yang membuat pemeriksaan mendapati restoran atau kedai makan tidak menepati tahap kebersihan ditetapkan, ia akan diarahkan untuk ditutup sementara.

"Pengusaha diminta membersihkan restoran atau kedai makan semasa tempoh penutupan sementara.

“DBKL akan memeriksa semula tahap kebersihannya sebelum memberi kebenaran untuk beroperasi semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Gotong-Royong Bukit Bintang hari ini.

Menurutnya, DBKL membuat pemeriksaan berkala dan mengejut ke atas semua restoran dan kedai makan di ibu kota bagi memastikan permis itu menjual makanan bersih selain mengekang pembiakan tikus yang tidak terkawal di Kuala Lumpur.

Beliau berkata DBKL mahu memastikan restoran dan kedai makan di ibu negara berada pada tahap kebersihan yang tinggi terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu Pasar Raja Bot di Chow Kit akan ditutup pada Selasa dan Rabu ini untuk operasi pembersihan.

Beliau berkata operasi pembersihan itu akan dilakukan oleh DBKL dan Alam Flora Sdn Bhd.

DBKL juga akan membersihkan Pasar Borong Selayang dan pihaknya masih menunggu tarikh sesuai daripada pihak peniaga, katanya.

Sementara itu, acara gotong-royong di Bukit Bintang yang dianjurkan Jawatankuasa Persekitaran Bukit Bintang diserta kira-kira 700 sukarelawan dari jabatan dan agensi kerajaan dan swasta termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL, Alam Flora Sdn Bhd, Persatuan Penduduk Kampung Malaysia Tambahan dan Sekolah Wesley Methodist Sentul.

Pengerusi jawatankuasa itu Simon Leong berkata gotong-royong itu merupakan acara tahunan yang bertujuan menerap kesedaran terhadap kebersihan dalam kalangan warga kota selain menjadikan Kuala Lumpur bandar bersih, indah dan ceria. – Bernama

Tiada ulasan: