Sabtu, 25 Mei 2013

Veteran Umno gesa polis tahan lebih ramai 'pengacau'

Wartawan Sinar Harian
SHAH ALAM - Veteran Umno Malaysia mendesak pihak polis supaya menahan lebih ramai "pengacau" keamanan negara  termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tanpa kompromi.

Setiausahanya, Datuk Musthafa Yaakub mendakwa, Veteran yakin sekiranya Anwar dan Kit Siang tidak ditahan, kedua-duanya akan meneruskan siri jelajah memprotes keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kedua-dua mereka adalah perancang dan penggerak utama demonstrasi jalanan itu," dakwa beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Musthafa lagi, Veteran turut menyokong penuh ketegasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengambil tindakan ke atas Naib Presiden PKR, Tian Chua, aktivis pembangkang, Haris Ibrahim, aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Hamid dan anggota Pas, Tamrin Ghafar.

Kelmarin, Tian Chua, Haris dan Tamrin telah ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, berhubung ceramah mereka di Dewan Perhimpunan Cina, di sini, pada 13 Mei lepas yang didakwa berbaur hasutan.

Bagaimanapun ketiga-tiganya dibebaskan semalam selepas permohonan reman polis ditolak majistret.

Manakala Khamis lalu, Adam Adli dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui ucapannya 13 Mei lalu.

Adam Adli kemudiaanya dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut semula 2 Julai depan.

Sementara itu, Musthafa turut menyokong penuh cadangan Dr Ahmad Zahid supaya sesiapa yang tidak gembira menjadi rakyat negara ini melepaskan kerakyatan negara ini dan berhijrah kenegara yang boleh memberi mereka kegembiraan serta kepuasan berpolitik.

"Veteran sanggup membantu mereka mendapatkan tempat di negara yang menjadi pilihan mereka termasuk Kutub Utara dan Kutub Selatan.

"...dengan ini Veteran menjemput sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sistem Kerajaan sedia ada dan tidak gembira menjadi rakyat Malaysia, supaya tampil mendaftar nama-nama mereka dengan Veteran untuk diproses serta ditapis sebelum mereka dihantar ke negara pilihan mereka," dakwanya lagi.

Tiada ulasan: