Selasa, 28 Mei 2013

Tiada Langat 2 Tanpa Penstrukturan Semula Industri Air


Miter_air_Syabas

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan pendirian bahawa projek Loji Langat 2 hanya boleh diteruskan dengan penstrukturan semula industri air Selangor.

Mantan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar memberi amaran kepada Kerajaan Persekutuan supaya tidak memaksa pembinaan projek itu tanpa persetujuan Kerajaan Selangor.

“Kita ingin memberi amaran kepada (Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) Datuk Seri Mahdzir Khalid agar tidak terus “langgar” (bulldozer) pembinaan Loji Langat 2 tanpa kebenaran dan kelulusan Kerajaan Negeri.

“Hak terhadap tanah dan pengurusan air adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti diperuntukan oleh Perlembagaan.

“Perlanggaran hak ini oleh Kerajaan Persekutuan akan menjadi ‘precedent’.

“Bagaimana Kerajaan Pusat mengamalkan diskriminasi dan “membuli” sebuah Kerajaan Negeri akan mecemarkan sistem Federalisme … ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahdzhir yang dipetik akhbar tempatan menyatakan Kerajaan Pusat bersedia meneruskan perbincangan mengenai isu air di Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama Kerajaan Negeri.

Justeru itu, Dr Xavier berkata, Kerajaan Selangor mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk terus mencari penyelesaian berkenaan isu itu.

“Kerajaan Selangor mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Persekutuan mengadakan perbincangan tetapi ianya harus mengambil kira ‘roh’ dan semangat Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA 2006).”

Jelas Dr Xavier, perbincangan itu penting bagi mengambalikan urusan rawatan dan pengedaran air dapat dikembalikan kepada Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, beberapa siri perbincangan bersama mantan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin serta beberapa pegawai Kementerian gagal mencapai persetujuan bersama.

Dr Xavier mendakwa Peter serta pegawai kementerian dilihat lebih cenderong menyebelahi Syabas, syarikat swasta yang diberi kuasa mengendalikan penyaliran air.

Malah, tawaran sebanyak RM 9.65 bilion oleh Kerajaan Negeri untuk mengambilalih Syabas dan tiga syarikat swasta air juga ditolak.

Keadaan bertambah buruk apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin Umno-BN Selangor seperti Datuk Seri Noh Omar dan Datuk Ir Mohd Zain Mohamed menentang proses pengambil alihan ini.

“Kita ingin tegaskan bahawa kelewatan pembinaan Loji Langat 2 ini akan hanya menyebabkan ‘kerugian yang besar’ kepada syarikat-syarikat kroni yang berlegar disekeliling pemimpin-pemimpin UMNO.

“Dan semua “cerita-cerita” tentang krisis air yang digembar-gemburkan media Umno-BN sejak kebelakangan ini merupakan ‘rekaan’ untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Negeri agar segera meluluskan Langat 2,” ujarnya yang juga Adun Sri Andalas.

Tiada ulasan: